Kematian pelajar SK Dengkil: Kerajaan Selangor sedia bantu keluarga Damiya

LocalFamily & Parenting
20 Oct 2026 • 10:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kematian pelajar SK Dengkil: Kerajaan Selangor sedia bantu keluarga Damiya

SHAH ALAM, 20 OKT: Kerajaan Negeri akan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga pelajar tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Dengkil, Derma Damiya Nur Mikayla Mior Shahrizal, yang meninggal dunia semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, beliau turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian kanak-kanak itu selain menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan seluruh warga sekolah.

“Saya menerima berita menyayat hati pemergian adik Derma Damiya Nur Mikayla binti Mior Shahrizal, seorang pelajar perempuan Tahun 1 di Sekolah Kebangsaan Dengkil.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah serta seluruh warga SK Dengkil dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan di kalangan orang beriman,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri turut mendoakan agar keluarga Allahyarhamah diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan itu.

“Kerajaan Negeri mendoakan agar keluarga tabah atas kehilangan ini dan akan menghulurkan bantuan kepada keluarga Allahyarhamah bagi meringankan beban keluarga,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang murid perempuan dilaporkan mengalami kesukaran bernafas ketika berada di dalam kelas di SK Dengkil sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.

Derma Damiya Nur Mikayla, 7, meninggal dunia di Hospital Putrajaya ketika sedang mendapatkan rawatan lanjut selepas diberikan bantuan awal pernafasan di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.30 malam, semalam.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memastikan kebajikan keluarga mangsa diberikan perhatian sewajarnya serta memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan kejadian.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved