
MARANG – Seorang abang tidak menyangka perubahan sikap adik lelakinya pada majlis tahlil keluarga beberapa hari lalu rupa-rupanya petanda pemergiannya akibat nahas ngeri di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) kelmarin.
Mohd. Zukri Yaacob, 55, berkata, arwah adiknya, Mohd. Fahimi, 41, yang selama ini paling ringan tulang setiap kali majlis keluarga dilihat hanya mendiamkan diri dan duduk di belakang sepanjang tahlil terbabit.
“Saya sangka dia (Mohd. Fahimi) yang merupakan guru Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu penat kerana baru selesai mengendalikan program perkhemahan pelajar sekolahnya.
“Rupa-rupanya itu petanda dia mahu meninggalkan kami,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jerong Surau, di sini kelmarin.
Jenazah arwah selamat dikebumikan di tanah perkuburan itu pada pukul 10.30 malam dengan dihadiri lebih 500 ahli keluarga, saudara dan penduduk termasuk dua daripada empat anak arwah.
Mohd. Zukri berkata, Mohd. Fahimi juga sempat bersalaman dan berpelukan dengan ibu mereka dan adik-beradik lain selepas beredar pulang dari majlis tahlil terbabit.
Katanya, arwah yang juga anak ke-13 daripada 14 beradik pada masa itu dilihat bersungguh-sungguh memohon maaf kepada ibu dan mereka semua.
Mohd. Zukri berkata, dia mengetahui kemalangan tersebut apabila dihubungi polis untuk membuat pengecaman mayat pada pukul 10.15 pagi,kelmarin.
“Saya terus menghubungi isteri arwah yang kemudiannya mengesahkan suaminya (Mohd. Fahimi) memang bertolak ke Kuala Lumpur atas urusan kerja dengan menunggang motosikal,” katanya.
Kelmarin Kosmo! melaporkan, Mohd. Fahimi maut akibat rentung selepas skuter pengembaraan jenis Zontes yang ditungganginya merempuh sebuah lori kurier di Kilometer 357, LPT2 berhampiran Bukit Besi, Dungun pada pukul 5 pagi. – KOSMO! ONLINE
The post Fahimi sempat salam, minta maaf pada ibu, adik beradik appeared first on Kosmo Digital.

![[KEMASKINI] Penunggang skuter rentung di LPT 2 dikenal pasti seorang guru](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/RENTUNG-MENINGGAL-DUNIA-1024x768.jpeg)