![Image from: [KEMASKINI] Penunggang skuter rentung di LPT 2 dikenal pasti seorang guru](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/RENTUNG-MENINGGAL-DUNIA-1024x768.jpeg)
DUNGUN – Identiti penunggang skuter yang rentung dalam kemalangan di Kilometer 357 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Kuala Terengganu- Kuantan berhampiran Bukit Besi, di sini, hari ini dikenal pasti sebagai Mohd. Fahimi Yaacob, 41.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, mangsa merupakan guru Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu.
“Sewaktu kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur atas urusan kerja,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd. Fahimi rentung selepas skuter pengembaraan jenis Zontes ditungganginya merempuh sebuah lori kurier yang terbabas di lokasi kejadian pada pukul 5 pagi tadi.
Nik Ab. Halim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas lori membawa muatan kurier dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan.
Beliau berkata, skuter jenis Zontes tersebut dikatakan gagal mengelak lalu merempuh lori kurier dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun yang dalam perjalanan ke Kuantan, Pahang tersebut.
“Impak rempuh menyebabkan skuter berkenaan terbakar tanpa sempat penunggangnya menyelamatkan diri,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post [KEMASKINI] Penunggang skuter rentung di LPT 2 dikenal pasti seorang guru appeared first on Kosmo Digital.



