Fahmi: CEO diberi ruang laksana hala tuju baharu Finas

1 Nov 2023 • 7:57 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang baharu Datuk Azmir Saifuddin Mutalib diberi ruang untuk mengemudi pasukan dalam melaksana hala tuju baharu agensi berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil (gambar) berkata pesanan itu disampaikan kepada Azmir Saifuddin semasa pertemuan dengannya hari ini.

“Selamat datang, CEO Finas yang baharu! Tengah hari tadi saya bertemu dengan Azmir Saifuddin yang dilantik sebagai CEO Finas berkuat kuasa hari ini.

“Dalam pertemuan tadi, saya menyatakan dengan jelas bahawa saya memberi ruang kepada beliau untuk mengemudi pasukan dalam mengkaji, merangka dan melaksana hala tuju baharu Finas,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Fahmi turut mengucapkan selamat menjalankan tugas dengan baik kepada Azmir Saifuddin.

Azmir Saifuddin yang berkelulusan Ijazah Pengkomputeran daripada Universiti Sheffield Hallam, United Kingdom memulakan kerjayanya di Bahagian Kreatif Multimedia Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan di Base FX. -Bernama