Pada minggu lepas, terdapat satu insiden dimana seorang kanak-kanak perempuan telah diculik oleh seorang lelaki sewaktu sembahyang Subuh di Batang Kali. Insiden tersebut telah dilaporkan oleh pihak media, dan terdapat video yang juga tersebar mengenainya.
Sebanyak 18 organisasi media tempatan yang menggunakan platform video ringkas TikTok telah mendapati akaun-akaun mereka disekat oleh pihak TikTok sendiri kerana rakaman video tersebut, walaupun ia telah ditapis untuk tidak menunjukkan wajah dan susuk badan kanak-kanak tersebut.
MCMC sedang berhubung dengan TikTok susulan 18 akaun TikTok organisasi media disekat kerana buat hantaran berhubung kes cabul di Batang Kali – Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil #digitalbernamatv #fahmifadzil #tiktok #mcmc pic.twitter.com/WqUaAtO8x9
Menteri Komunikasi Malaysia, Fahmi Fadzil berkata bahawa pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang berbincang dengan pihak TikTok berkenaan dengan perkara ini.
Beliau mengatakan bahawa maklumat awal yang diterima olehnya berkaitan dengan sistem semakan kandungan dan moderasi AI TikTok yang melihat video tersebut sebagai kandungan amang seksual terhadap kanak-kanak, dan akaun-akaun media tersebut disekat secara automatik, kerana kandungan sebegitu langsung tidak dibenarkan di platform tersebut.
Perbincangan dengan TikTok diadakan untuk melihat samada akaun-akaun media tersebut boleh dipulihkan dan juga untuk membenarkan mereka untuk melaporkan tentang kes tersebut di platform mereka.
TikTok telah mengatakan bahawa kandungan sebegini, walaupun ia telah disunting untuk tidak memperlihatkan wajah dan tubuh kanak-kanak tersebut, masih tidak dibenarkan, dan sekiranya ia ditangkap oleh AI moderasi kandungan mereka, akan menyebabkan akaun tersebut disekat tanpa sebarang amaran.




