Fahmi Selar Poster Tajuk Berita Disunting Bagi Tujuan Fitnah

26 Jun 2023 • 7:27 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Fahmi menyelar tindakan pihak tertentu yang menyunting poster tajuk berita sebuah media tempatan bagi tujuan memfitnah. - Gambar dari Facebook Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyelar tindakan pihak tertentu yang menyunting poster tajuk berita sebuah media tempatan bagi tujuan memfitnah.

Beliau berkata terdapat penambahan ayat pada akhir tajuk berita itu yang berbunyi ‘Jangan guna jentera kerajaan kempen untuk parti politik. Kami takpe - Fahmi’ sedangkan tajuk asal ialah ‘Jangan guna jentera kerajaan kempen untuk parti politik - Fahmi.’

“Fitnah semakin berleluasa. Yang palsu ini disebar di WhatsApp dan lain-lain,” katanya dalam hantaran di laman Facebook malam tadi dengan memuat naik tangkap layar poster tajuk berita yang betul dan palsu.

image is not available

Fahmi turut memuat naik pautan berita media tempatan tersebut iaitu mengenai peringatan beliau kepada pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan agar tidak sesekali menggunakan jentera kerajaan bagi berkempen untuk parti politik pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

Katanya beliau memberikan peringatan itu ketika sesi libat urus bersama pegawai lapangan Jabatan Penerangan Kelantan malam tadi. - Bernama