Menteri selar pihak sunting poster tajuk berita untuk fitnah

25 Jun 2023 • 11:40 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil hari ini menyelar tindakan pihak tertentu yang menyunting poster tajuk berita sebuah media tempatan bagi tujuan memfitnah.

Beliau berkata terdapat penambahan ayat pada akhir tajuk berita itu yang berbunyi ‘Jangan guna jentera kerajaan kempen untuk parti politik. Kami takpe – Fahmi’ sedangkan tajuk asal ialah ‘Jangan guna jentera kerajaan kempen untuk parti politik – Fahmi.’

“Fitnah semakin berleluasa. Yang palsu ini disebar di WhatsApp dan lain-lain,” katanya dalam hantaran di laman Facebook malam ini dengan memuat naik tangkap layar poster tajuk berita yang betul dan palsu.

image is not available
Poster tajuk berita yang disunting pihak tidak bertanggungjawab dikongsi Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil di Facebook pada 24 Jun 2023

Fahmi turut memuat naik pautan berita media tempatan tersebut iaitu mengenai peringatan beliau kepada pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan agar tidak sesekali menggunakan jentera kerajaan bagi berkempen untuk parti politik pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

Katanya beliau memberikan peringatan itu ketika sesi libat urus bersama pegawai lapangan Jabatan Penerangan Kelantan malam tadi.

— BERNAMA