
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil menyifatkan tindakan lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) mempersoalkan pendirian Malaysia berhubung isu rakyat Israel sebagai biadab dan seolah-olah mencampuri urusan kedaulatan negara.
Memetik laporan Buletin TV3, Fahmi berkata, Malaysia tidak akan berdiam diri dan akan menyampaikan mesej jelas kepada Kedutaan AS supaya tidak mencampuri urusan dalaman negara, termasuk perkara berkaitan imigresen.
“Kita tidak akan berdiam dan sudah pasti kita akan sampaikan mesej yang sangat jelas kepada Kedutaan AS, jangan campuri urusan dalaman termasuk isu imigresen bagi negara Malaysia.
“Negara kita negara yang berdaulat. Sekiranya ada mana-mana pihak atau individu didapati melanggar syarat-syarat, maka kita mempunyai kuasa dan hak untuk menghalau serta mengusir mereka,” katanya.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, pendirian Kerajaan Persekutuan kekal tegas berhubung isu Network School yang dikaitkan dengan dakwaan terdapat warga Israel mempunyai dua kerakyatan menetap di kawasan Forest City.
Menurutnya, Jemaah Menteri turut menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu tersebut.
Baca juga:
‘RCI Tabung Haji bukan untuk tutup cerita, tetapi noktah hitam perlu diakhiri’ – Kamil
MBI nafi dakwaan tulisan bahasa Cina dipasang bersama mercu tanda ‘IPOH’- Fahmi sifatkan tindakan lapan Ahli Kongres AS biadap
Katanya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah memaklumkan proses siasatan membabitkan 11 individu yang dipercayai mempunyai dua kerakyatan masih diperhalusi.
“Bagi Jabatan Imigresen dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), tidak berlaku apa-apa kesalahan yang dikenal pasti tetapi siasatan itu diteruskan.
“Menteri Dalam Negeri memaklumkan tidak ada warganegara Israel dikesan dalam kalangan 266 orang yang disiasat dan ditemui Jabatan Imigresen serta pihak berkuasa,” katanya.
Terdahulu, beberapa anggota Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) menggesa Jabatan Negara AS mengkaji semula hubungan keselamatan dan ekonomi dengan Malaysia susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tindakan mengesan serta menghantar pulang warga Israel yang berada di negara ini.
Dalam surat bertarikh 21 Julai 2026 kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, sekumpulan anggota Kongres menyatakan kebimbangan terhadap kenyataan Anwar yang menurut mereka menyasarkan warga Israel berdasarkan kewarganegaraan mereka.
Surat yang ditandatangani lapan anggota Kongres itu mendakwa tindakan berkenaan bersifat diskriminasi dan menyifatkannya sebagai kebimbangan terhadap apa yang mereka labelkan sebagai ‘antisemitisme’.
The post Fahmi sifatkan tindakan lapan Ahli Kongres AS biadap appeared first on The Reporter.






