Fahmi tepis gesaan UMNO keluar

LocalPolitics
13 Sep 2026 • 12:17 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Fahmi tepis gesaan UMNO keluar

KUALA LUMPUR: PKR menolak gesaan supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan dengan menegaskan kepentingan negara perlu diutamakan berbanding sentimen kepartian.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menjelaskan bahawa sebarang keputusan membabitkan kerajaan perlu dibuat berdasarkan kepentingan negara dan bukan emosi.

“Perdana Menteri telah menyatakan semasa Kongres PKR di Melaka baru-baru ini bahawa apa jua keputusan yang kita buat tidak akan berasaskan emosi.

“Kita akan memikirkan tentang negara dan mengutamakan negara terlebih dahulu. Itulah yang diajar oleh ‘guru’ kami,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Larian Merdeka OXYENERGY x Media Prima 2026 di sini hari ini.

Mengulas sama ada kerajaan akan menunggu UMNO menarik diri atau Perdana Menteri membuat keputusan mengeluarkan parti itu daripada Kerajaan Perpaduan, Fahmi berkata perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam mana-mana parti politik.

Katanya, pemimpin perlu menunjukkan teladan dengan meletakkan Malaysia di hadapan dalam setiap keputusan yang dibuat.

“Bagi saya, itu perlu menjadi panduan kita, bukan sahaja dalam memimpin parti tetapi juga dalam memimpin negara,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan UMNO, Fahmi berkata hubungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan kekal kukuh, termasuk menerusi mesyuarat Kabinet mingguan dan pelbagai urusan kerajaan.

“Kerjasama pada peringkat Persekutuan dalam Kerajaan Perpaduan dan kerajaan Madani kekal teguh serta kukuh, dan kami bekerjasama,” katanya.

Beliau berkata kerjasama itu penting bagi membolehkan kerajaan menangani pelbagai cabaran, termasuk konflik yang masih berterusan di Asia Barat serta isu ekonomi.

Katanya, Perdana Menteri bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berada di India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS Ke-18 selain meneroka peluang menarik pelaburan.

“Cabaran tetap ada, dan para pemimpin di Putrajaya tanpa mengira parti akan terus bekerja untuk mengutamakan Malaysia,” katanya. – UTUSAN

The post Fahmi tepis gesaan UMNO keluar appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved