Fahmi ucap tahniah kepada Siti Nurhaliza atas penganugerahan Biduanita Negara

14 Nov 2024 • 1:25 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengucapkan tahniah kepada penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin yang diiktiraf Biduanita Negara susulan penganugerahan sebagai Biduan Negara 2024 pada Anugerah Seni Negara (ASN) yang berlangsung semalam.

Menerusi hantaran di platform X hari ini Fahmi berkata Kementerian Komunikasi amat berbangga dengan pencapaian penyanyi itu yang cemerlang dan bergemerlapan dalam bidang seni suara.

“Tahniah Biduanita Siti Nurhaliza! Semoga dengan pengiktirafan ini, beliau akan terus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.

Siti Nurhaliza, 45, yang mula menceburi industri seni pada 1995 menjadi wanita ketiga diberi penghormatan tersebut.

Sepanjang penglibatannya, beliau memenangi lebih 300 anugerah dari dalam dan luar negara antaranya 42 anugerah pada Anugerah Industri Muzik, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (25), Anugerah Planet Muzik (28), MTV Asia Award (empat) selain pengiktirafan Malaysia Book Of Records sebanyak dua kali.

Penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu juga telah merakamkan lebih 200 lagu menerusi 20 album, mengadakan lebih 60 konsert dalam dan luar negara serta disenaraikan sebagai 500 Muslim Berpengaruh Dunia 10 tahun berturut-turut selain pernah mengadakan konsert solo di Royal Albert Hall London pada 2005.

– BERNAMA

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved