Jika anda sering ke Singapura, anda pastinya tahu tentang FairPrice, iaitu jenama kedai runcit yang terbesar di negara tersebut. Terkini, peruncit tersebut telah memperkenalkan kedai runcit dengan konsep serba pintar yang dinamakan FairPrice Finest Store of Tomorrow yang terletak di kawasan Punggol Digital District yang memanfaatkan pelbagai jenis teknologi AI dengan bantuan Google Cloud.
Apa yang unik dengan FairPrice Finest Store of Tomorrow ini ialah ia tampil dengan 15 buah troli pintar yang dinaiktarafkan dan hadir dengan sebuah tablet dan alat mengimbas produk yang memperlihatkan sejumlah fungsi pintar yang sangat berguna.

Sebelum ini, troli pintar tersebut sudahpun hadir dengan ciri-ciri menarik seperti fungsi imbasan produk dan juga navigasi dalam kedai secara terbina yang memudahkan pelanggan untuk mencari lokasi rak produk yang anda mahu beli dengan cepat dan mudah.
Dengan bantuan teknologi Google Cloud, troli-troli pintar ini telah dinaiktarafkan dengan penambahan teknologi agentik dan multimodal AI. Ini termasuklah:
- Agen perbualan multi-turn (multi-turn conversational agent) yang dibangunkan menggunakan Chirp 2, model pengecaman suara paling canggih Google Cloud, dan Gemini API multimodal;
- Agen carian katalog produk dan inventori (product catalog and inventory search agent) yang dibangunkan menggunakan Vertex AI Search dan Gemini API, untuk mendapatkan serta meringkaskan maklumat produk;
- Agen pengetahuan yang dibangunkan menggunakan Gemini API, Vertex AI RAG Engine, dan Grounding with Google Search API untuk memproses maklumat kod bar serta mencadangkan produk tambahan berdasarkan resipi atau padanan makanan daripada sumber dipercayai.
Sebagai contoh, pelanggan boleh mengatakan bahawa mereka mahu memasak ayam masak merah, nasi putih dan sayur masak lemak kepada AI agentik troli pintar ini, dan tablet yang terpasang ini akan menyenaraikan bahan-bahan yang anda perlu beli untuk membolehkan anda memasak hidangan-hidangan ini.

Menggunakan sistem navigasi sedia-ada pada troli pintar ini, ia akan membawa anda ke rak-rak dan kawasan yang mempunyai bahan-bahan ini, dan anda boleh mengimbasnya terus kedalam troli anda untuk pengalaman membeli-belah yang cepat dan mudah.

Apa yang unik lagi mengenai sistem AI baru yang diperkenalkan pada troli-troli pintar ini ialah ia memahami pelbagai jenis bahasa dan dialek yang digunakan di Singapura, termasuklah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan pelbagai dialek Bahasa Cina.

Ia juga boleh memberi anda cadangan tentang produk-produk yang boleh dibeli berdasarkan pertanyaan umum seperti “saya mahu membeli beras” atau “saya sedang mencari susu bebas laktosa”. Troli ini kemudiannya akan menyenaraikan beberapa pilihan dan membawa anda ke rak khusus dengan produk-produk seperti ini.

Pembayaran selepas anda selesai membeli-belah juga adalah sangat mudah. FairPrice sebelum ini sudahpun memperkenalkan lorong khas untuk troli-troli pintar ini, dan dengan aplikasi FairPrice, anda boleh membayar terus melalui aplikasi tersebut. Lebih menarik lagi, aplikasi tersebut akan mengemaskini harga jualan bukan sahaja dengan promosi dalam kedai, tetapi juga dengan baucar SG60 yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat Singapura.

Mereka juga telah memperkenalkan teknologi AI agentik di farmasi mereka. Sebuah alat penimbang badan yang dimuatkan dengan teknologi mengimbas komposisi badan telah diperkenalkan, dan data yang dirakam ini akan diproses oleh teknologi Tanita API dan Gemini yang kemudiannya akan dihantar kepada terminal Wellness Genie yang akan memberi anda nasihat berkenaan gaya hidup, pelan makanan, resipi dan senarai membeli-belah tersuai untuk membolehkan pengguna memulakan gaya hidup dan pemakanan yang lebih sihat.

Untuk para pekerja di FairPrice Finest Store of Tomorrow pula, aplikasi pekerja mereka telah dikemaskini untuk membolehkan pengurus kedai untuk meninjau stok jualan produk harian. Menggunakan kamera dan juga pelbagai sistem imbasan di dalam kedai, pengurus boleh melihat rak-rak manakah yang perlu dipenuhi semula dengan stok baru dengan sekilas pandang.

Penggunaan teknologi generatif AI juga dimanfaatkan untuk tujuan membuat kandungan promosi. Penggunaan teknologi AI Google Cloud seperti Imagen 4 dan Veo 3 telah memudahkan tugas bahagian pemasaran FairPrice untuk menyunting gambar dan menjana video promosi seperti Price Drop, Buy Now dan Durian Buffet dengan cepat dan mudah.
Buat masa ini, FairPrice Finest Store of Tomorrow mempunyai dua lokasi, termasuklah di Punggol Digital District dan juga Sengkang Grand Mall. FairPrice mengatakan bahawa lokasi ketiga akan diperkenalkan pada penghujung 2025 di Thomson Plaza.




