Realme Mengacah Telefon Pintar Baharu Dengan Bateri Berkapasiti 15,000mAh

Digital
25 Aug 2025 • 6:36 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Realme mengumumkan bahawa mereka akan memperkenalkan peranti baharu yang dilengkapi dengan bateri besar melebihi 10,000mAh. Berdasarkan imej terbaharu yang dikongsikan oleh syarikat itu, peranti tersebut disahkan akan hadir dengan bateri sebesar 15,000mAh lalu menjadikannya antara telefon pintar dengan kapasiti bateri terbesar pernah diumumkan.

image is not available

Pelancaran global peranti ini dijadualkan berlangsung pada 27 Ogos 2025 namun ia dijangka merupakan sebuah telefon pintar konsep yang masih belum tersedia untuk pasaran pengguna dalam masa terdekat. Meskipun memiliki bateri yang besar, rekaan peranti ini kelihatan tidak setebal produk yang biasanya hadir dengan bateri berkapasiti besar.

image is not available
Realme GT7 Global

Peranti dijangka menggunakan teknologi anod silikon yang diperkenalkan oleh Realme pada awal tahun lalu. Ia mampu meningkatkan ketumpatan tenaga serta kecekapan prestasi bateri secara keseluruhan. Sebagai rujukan, model Realme GT7 di China hadir dengan bateri 7,200mAh yang menjadikannya peranti dengan bateri terbesar pernah ditawarkan oleh Realme setakat ini.

image is not available

Melalui imej promosi yang dikongsikan, tulisan ‘15,000mAh’ jelas terpampang pada bahagian belakang peranti. Realme menyatakan bahawa bateri berkapasiti tinggi ini mampu menyokong sehingga 50 jam tontonan video berterusan dan memberikan penggunaan melebihi 5 hari dengan pengecasan penuh. Pelancaran peranti ini dijangka menjadi penanda aras baharu dalam industri telefon pintar global.