hamden06/08/2026 - 16:11 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Ogos - Fairview International School muncul sekolah International Baccalaureate (IB) nombor satu di Malaysia selepas menduduki kedudukan ke-24 terbaik dunia dan ke-13 terbaik Asia dalam jadual liga sementara 2026 yang diterbitkan oleh IB-Schools.com.
Kedudukan itu dicapai selepas pelajar di kampus utama Fairview di sini merekodkan purata 38 mata dalam International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP), jauh mengatasi purata global 2026 sebanyak 30.88 mata.
Kohort Diploma yang terdiri daripada 22 pelajar itu mencatat keputusan 7.12 mata melebihi purata global, meningkat tiga mata berbanding purata sekolah pada 2025 iaitu 35 mata, selain mengatasi sekolah Malaysia di kedudukan seterusnya sebanyak 3.8 mata.
Pencapaian tersebut turut menyaksikan Fairview buat kali kelima tersenarai dalam kelompok 100 sekolah IB terbaik dunia, selain pertama kali berada dalam kelompok 25 terbaik dunia.
Pengetua Kumpulan Fairview International School, Dr. Vincent Chian berkata, kejayaan itu membuktikan kecemerlangan akademik boleh dicapai seiring dengan pembangunan sahsiah dan kemahiran insaniah pelajar.
"Ramai menganggap sesebuah sekolah perlu memilih sama ada melahirkan pelajar yang seimbang atau memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang.
"Kami tidak pernah menerima tanggapan itu. Pelajar kami dididik untuk berfikir secara bebas, mengemukakan persoalan yang bermakna serta bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka sendiri.
"Keputusan cemerlang adalah hasil daripada pendekatan itu, bukan di sebaliknya," katanya dalam satu kenyataan.
Perintis Program International Baccalaureate
Ditubuhkan pada 1978, Fairview merupakan antara perintis pelaksanaan program International Baccalaureate di Malaysia dan kini mengendalikan rangkaian terbesar IB World Schools di negara ini menerusi penawaran Primary Years Programme (PYP), Middle Years Programme (MYP) dan Diploma Programme (DP).
Sekolah itu mengamalkan pendekatan pembelajaran berasaskan inkuiri dengan penekanan terhadap pemikiran kritis, pembangunan sahsiah serta keupayaan menyelesaikan masalah, manakala pencapaian akademik dilihat sebagai hasil daripada proses pembelajaran tersebut.
Menurut Dr. Chian, pencapaian yang direkodkan pelajar bukan sekadar diukur melalui angka, sebaliknya mencerminkan keupayaan mereka memimpin, bekerjasama dan menangani cabaran dunia sebenar.
"Pelajar kami bersedia menghadapi cabaran yang tidak mempunyai skema jawapan. Itulah matlamat pendidikan yang kami terapkan, dan keputusan ini membuktikan pendekatan tersebut berjaya," katanya. - DagangNews.com


