
PETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) diiktiraf sebagai institusi pada kedudukan tertinggi di Malaysia dalam Papan Skor GSR 2026 yang diterbitkan oleh Global SWF, selain tersenarai pada kedudukan keempat terbaik di peringkat global buat pertama kali.
Papan Skor GSR menilai lebih 200 institusi pelaburan milik negara di seluruh dunia berdasarkan piawaian tadbir urus, amalan kelestarian dan daya tahan institusi.
PNB memperoleh markah keseluruhan sebanyak 88 peratus, merangkumi 90 peratus untuk Tadbir Urus, skor sempurna 100 peratus untuk Kelestarian dan 60 peratus untuk Daya Tahan.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli berkata, pencapaian itu mencerminkan kemajuan yang telah dicapai dalam memperkukuh tadbir urus, menerapkan amalan yang bertanggungjawab dan membina organisasi yang lebih berdaya tahan.
“Peningkatan kedudukan daripada tangga ke-17 kepada tangga keempat di peringkat global dalam tempoh setahun merupakan pengiktirafan kukuh terhadap usaha kolektif yang dilaksanakan di seluruh PNB.
“Pencapaian skor kelestarian sempurna ini merupakan pengiktirafan yang amat bermakna kepada PNB kerana ia mencerminkan komitmen dan usaha berterusan kami untuk mengintegrasikan pertimbangan kelestarian ke dalam cara kami beroperasi, melabur dan melaksanakan kepengurusan.
“Menerusi Rangka Kerja Kelestarian yang telah diperbaharui, kami terus memperkukuh pendekatan yang lebih holistik, berteraskan Kelestarian Organisasi, Kepengurusan Bertanggungjawab dan Pembangunan Negara,” katanya dalam kenyataan.
Pencapaian kali ini menandakan lonjakan yang signifikan berbanding tahun 2025, apabila PNB tersenarai di kedudukan ke-17 di peringkat global.
Ia mencerminkan usaha berterusan organisasi dalam memperkukuh tadbir urus, menerapkan amalan perniagaan yang bertanggungjawab dan meningkatkan keupayaan jangka panjang institusi.
Ujarnya, salah satu pencapaian utama dalam penarafan tahun ini ialah PNB memperoleh skor sempurna bagi aspek kelestarian, yang mengiktiraf kekuatan rangka kerja tadbir urus, amalan pendedahan yang telus, komitmen terhadap agenda iklim dan penerapan pertimbangan kelestarian secara sistematik merentasi aktiviti pelaburan dan kepengurusan.
Beliau berkata, pencapaian sasaran Perusahaan Sifar Bersih bagi pelepasan Skop 1 dan Skop 2 membuktikan keupayaan kami menterjemahkan komitmen kepada hasil yang boleh diukur.
“Melangkah ke hadapan, kami akan terus memperkukuh amalan kepengurusan, memperdalam integrasi iklim dan kelestarian merentasi organisasi serta portfolio pelaburan dan kekal memberi tumpuan kepada penyampaian nilai jangka panjang yang mampan untuk pemegang unit kami,” ujarnya.
Papan Skor GSR Global SWF berfungsi sebagai penanda aras bagi institusi pelaburan milik negara di seluruh dunia.
Pencapaian kukuh PNB membuktikan komitmennya terhadap kepengurusan bertanggungjawab, penciptaan nilai yang mampan dan kecemerlangan institusi, sejajar dengan matlamatnya untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat Malaysia, merentas generasi. – UTUSAN
The post PNB raih kedudukan tertinggi dalam Papan Skor GSR di Malaysia, keempat di peringkat global appeared first on Utusan Malaysia.




