Faisal Halim ledak dua gol, Selangor tundukkan Tampines Rovers 4-2

FootballSports
25 Sep 2025 • 8:25 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

PETALING JAYA, 25 SEPT: Selangor merakam kemenangan pertama dalam kempen Kejuaraan Kelab ASEAN 2025/2026 selepas menundukkan Tampines Rovers FC 4-2 pada pertembungan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, malam tadi.

Pada aksi kedua Kumpulan A itu, skuad Gergasi Merah menyajikan permulaan sempurna apabila mendahului 2-0 selepas Mohamad Faisal Abdul Halim membuka tirai jaringan pada minit ke-18 dan Zach Clough menggandakan kedudukan pada minit ke-29.

Pasukan pelawat dari Singapura itu berjaya mengurangkan defisit jaringan apabila Kohya Kazama menyempurnakan penalti pada minit ke-41 selepas beliau dijatuhkan Richmond Ankrah.

Memasuki babak kedua, Selangor kendalian Katsuhito Kinoshi menghukum kealpaan Tampines Rovers dengan dua gol pantas masing-masing menerusi Mohamad Faisal pada minit ke-52 dan penyudah Alvin Fortes enam minit kemudian.

Tampines Rovers cuba bangkit dengan gol kedua yang dijaringkan Hide Higashikawa pada minit ke-65, namun ia tidak cukup untuk menafikan kejayaan Selangor mengutip tiga mata pertama di hadapan penyokong sendiri.

Selepas dua perlawanan, Selangor kini berada di tangga teratas Kumpulan A, berkongsi empat mata dengan BG Pathum United dari Thailand di tempat kedua dan Tampines ketiga dengan tiga mata.

Anak buah Kinoshi dijadual bertemu wakil Filipina Dynamic Herb Cebu di Manila pada 3 Disember depan.

- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved