Faizal Tahir Di Hadapan 10,000 Peminat, Antara Nostalgia Dan Ekspektasi

EntertainmentMusic
7 Oct 2026 • 1:33 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Tiga tahun selepas konsert solonya yang terakhir, Faizal Tahir akhirnya kembali berdepan ribuan peminat dalam skala yang jauh lebih besar.

Dan jika sebelum ini penyanyi berusia 48 tahun itu sendiri pernah ragu-ragu sama ada mampu memenuhi Unifi Arena, keraguan itu terjawab pada malam 3 Oktober apabila kira-kira 10,000 penonton memenuhi ruang berkenaan untuk menyaksikan Faizal Tahir: Suara Rakyat.

Image from: Faizal Tahir Di Hadapan 10,000 Peminat, Antara Nostalgia Dan Ekspektasi

Namun, selepas dua jam menyaksikan perjalanan muzik lebih dua dekad itu, satu perkara menjadi semakin jelas, 

Suara Rakyat bukan sekadar tentang sejauh mana Faizal mampu memenuhi sebuah arena, tetapi sejauh mana sebuah konsert retrospektif mampu memenuhi ekspektasi peminat yang datang membawa memori masing-masing.

Malam itu dibuka dengan Batu & Golek, sebelum Gemuruh mengambil alih pentas dan serta-merta mengubah Unifi Arena menjadi ruang karaoke terbesar buat lagu yang sudah begitu sinonim dengan nama Faizal.

Jeritan dan nyanyian penonton menjadi bukti paling nyata bahawa kebimbangan Faizal tentang sambutan konsert ini akhirnya tidak berasas.

Daripada Coba, Hanyut, Karma, Anti Gravity dan Sejati, hinggalah Santai, Teknologia, Kasih Tercipta, Dirgahayu, Sampai Syurga dan Aku Berjanji, hampir 30 lagu dibawa untuk mengimbas pelbagai fasa kerjayanya.

Ada lagu yang membuat penonton kembali kepada zaman tertentu dalam hidup mereka, ada yang mengundang nyanyian beramai-ramai dan ada juga yang terasa seperti sebuah penghormatan kepada perjalanan seorang penyanyi yang sudah lebih 20 tahun bertahan dalam industri.

Tetapi kekuatan terbesar Suara Rakyat sebenarnya datang daripada perkara yang tidak boleh direka, iaitu reaksi penonton sendiri.

Mereka bukan sekadar duduk menonton. Mereka menyanyi, bersorak dan menghidupkan semula lagu-lagu yang mungkin sudah lama tidak dimainkan secara langsung dalam skala sebegitu besar.

M. Nasir Curi Perhatian, Mirwana Hidupkan Nostalgia

Jika ada satu nama yang berjaya mencuri perhatian malam itu selain Faizal, tentunya Datuk M. Nasir.

Kemunculannya tidak diumumkan lebih awal dan kejutan itu akhirnya menjadi antara detik paling hangat malam berkenaan apabila beliau bergandingan dengan Faizal menerusi Campak Bintang.

Image from: Faizal Tahir Di Hadapan 10,000 Peminat, Antara Nostalgia Dan Ekspektasi

Menariknya, kehadiran M. Nasir turut memperlihatkan bagaimana seorang legenda boleh mengubah tenaga sebuah persembahan hanya dengan kemunculan di pentas.

Sementara itu, reunion bersama Mirwana menerusi Aku Tanpa Cintamu dan Biar Satu Dunia Tahu membawa sisi berbeza. Lebih sentimental dan sarat nostalgia, terutama buat mereka yang sudah mengikuti Faizal sejak awal kemunculannya.

Dua segmen itu antara yang paling terasa mempunyai nilai nostalgia kerana ia bukan sekadar kolaborasi untuk memeriahkan konsert, tetapi menghubungkan kembali beberapa bab penting dalam perjalanan seni Faizal.

Namun, di sebalik hampir 30 lagu dan beberapa momen besar yang berjaya dicetuskan, Suara Rakyat juga tidak terkecuali daripada rasa tidak puas hati di kalangan peminat yang hadir. Lihat sahaja perkongsian di media sosial. 

Ada yang menganggap Faizal terlalu banyak bercakap sehingga ada beberapa lagu yang ditunggu-tunggu tidak bergema di Unifi Arena. 

Ekspektasi Peminat VS Realiti Setlist

Hakikatnya, masalah utama sebuah konsert retrospektif ialah terlalu banyak lagu untuk dipilih.

Sebelum konsert berlangsung, Faizal sendiri mengakui mahu membawa lebih daripada 30 lagu, tetapi jumlah itu terpaksa dipotong kerana kekangan masa. Penerbit konsert, Jennifer Thompson, turut menasihatkan supaya senarai lagu dipadatkan bagi memastikan persembahan tidak terlalu panjang.

Dan akhirnya, beberapa lagu yang mungkin diharapkan peminat tidak berada dalam setlist malam itu.

Image from: Faizal Tahir Di Hadapan 10,000 Peminat, Antara Nostalgia Dan Ekspektasi

Antaranya Bencinta dan Ragaman, dua judul yang mempunyai tempat tersendiri dalam katalog Faizal. 

Menurut ‘orang dalam’, pada awalnya kedua-dua lagu ini ada dalam senarai lagu, namun ia akhirnya tidak dapat dipersembahkan.

Di sinilah konsep Suara Rakyat sedikit berdepan dengan realiti sebuah konsert besar.

Faizal mahu bercerita, berkongsi perjalanan, berinteraksi dengan penonton dan pada masa sama memberikan sebanyak mungkin lagu. 

Semuanya mempunyai nilai, tetapi apabila masa semakin mengejar, setiap minit yang diperuntukkan untuk percakapan bermakna satu lagi lagu mungkin terpaksa dikorbankan.

Bagi penonton yang datang hanya mahu mendengar lagu-lagu kegemaran, rasa sedikit terkilan itu boleh difahami.

Ini bukan soal Faizal tidak mampu memberikan persembahan. Vokalnya masih menjadi kekuatan utama dan hubungan dengan penonton jelas wujud sepanjang malam.

Cuma, aura rockstar yang selama ini sinonim dengan Faizal Tahir terasa seperti tidak keluar sepenuhnya. 

Faizal mempunyai suara, katalog lagu dan pengalaman pentas untuk membuat sebuah arena benar-benar meledak. Tetapi apabila persembahan terlalu banyak diselang-selikan dengan percakapan, momentum yang sudah dibina menerusi muzik seakan-akan kembali perlahan.

Dan mungkin itulah satu-satunya perkara yang membuat Suara Rakyat terasa belum benar-benar mencapai potensi maksimumnya.

Kerana apabila 10,000 orang sudah berada di hadapan anda dan sanggup menyanyikan setiap bait lagu, mereka mungkin tidak perlukan terlalu banyak penjelasan. Mereka cuma mahu Faizal Tahir menyanyi, ‘mengganas’ di atas pentas.

Bagaimanapun, Suara Rakyat tetap berjaya sebagai satu malam yang meraikan perjalanan panjang seorang anak seni.

Segmen Negaraku / Malaysia misalnya, berjaya membawa nama konsert itu kepada makna yang lebih besar apabila ribuan penonton menyanyi bersama, manakala Mahakarya dan Bila Lagi Nak Jumpa di penghujung persembahan adalah penutup terbaik.

Image from: Faizal Tahir Di Hadapan 10,000 Peminat, Antara Nostalgia Dan Ekspektasi

Pada akhirnya, kejayaan terbesar Suara Rakyat bukan terletak pada jumlah lagu yang sempat dinyanyikan atau siapa yang muncul sebagai kejutan.

Ia terletak pada satu perkara yang jauh lebih sukar untuk diperoleh: 10,000 orang masih mahu datang dan menyanyi bersama seorang penyanyi yang sudah lebih dua dekad berada dalam industri.

Itu sendiri sudah cukup untuk membuktikan bahawa nama Faizal Tahir masih mempunyai tempat yang besar dalam muzik tempatan. - Getaran, 7 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved