"Syaitan ialah musuh manusia yang wajib dimusuhi dan diperangi. Enggan memusuhinya bakal mengundang dosa kerana ia tindakan melanggar arahan Tuhan"-kata pengantar.
Sebuah lagi karya penuntun jiwa oleh Buya Hamka. Jika sebelum ini disajikan dengan ulasan sebuah karya airmata wajib baca iaitu Terusir, kali ini sebuah lagi artikel ulasan mengenai waspada permainan syaitan dengan judul Falsafah Syaitan.

Di dalam naskhah ini, Buya Hamka membicarakan perihal aspek penyucian jiwa atau Tazkiyatun Nafs yang sangat diperlukan manusia dalam perang jiwa terhadap musuh yang fizikalnya tidak kelihatan tetapi licik mengatur langkah, yakni syaitan yang direjam! Syaitan saru-satunya hamba Allah yang ingkar akan suruhanNya dan sebab itulah tempat yang selayaknya untuk syaitan adalah neraka.
Syaitan akan membisikkan secara halus kepada umat nabi agar turut sesat seperti mereka. Mereka tidak akan sewenang-wenangnya membenarkan umat nabi melakukan kebaikan dan terus masuk ke syurga. Maka dengan itu, mereka akan cuba segala daya tipu muslihat untuk menyesatkan umat nabi. Manusia akan melakukan kejahatan bermula dengan perkara-perkara kecil seperti menipu dan mencuri, malahan jika sudah terbiasa dengan kejahatan kecil ini, manusia akan mula untuk membunuh. Hatinya penuh dengan noda kehitaman dek terikut dengan hasutan syaitan dan tidak berupaya untuk cuba beristighfar setiap kali melakukan kemungkaran.
Sebut sahaja serangan atau gangguan syaitan, kebanyakan orang akan merasa gerun kerana fizikalnya yang sering diceritakan di dalam Al-quran. Tetapi, hakikatnya meskipun gerun dengan makhluk Allah yang satu ini, ramai yang masih tidak sedar. Mereka masih berfoya-foya.
Tidak ramai yang takut akan penyakit jiwa manusia yang utama disebabkan oleh syaitan seperti menjadi ahli kelab iblis di dunia dan terperosok ke dasar neraka jahanam bersama mereka. Hati dan jantung manusia perlu sentiasa sihat dan bersih. Jangan sesekali membuka pintu atau lubangnya kepadan syaitan. Jika terbuka atau lalai, maka bocorlah iman dan parahlah takwa kerana bencana hasutannya akan menjengah masuk dengan deras sehingga kita lupa siapa diri kita dan apa tujuan kita hidup di muka bumi ini.
Banyak surah yang boleh dilazimi agar diri sentiasa dilindungi dari sebarang kekejaman syaitan mahupun manusia yang hatinya sudah ditakluk oleh syaitan untuk membuat kejahatan terhadap manusia lain.
Benar, manusia dicptakan untuk diuji dan untuk apa diciptakan jika tidak melalui sebarang ujian dan dugaan dalam hidup. Dari sinilah kita perlu menjadi manusia yang sebenar-benar manusia kerana syurga dan neraka itu punyai ‘tiket’ untuk melangkah ke sana. Pilihan sudah berada di tangan kita malah dari kecil lagi kita sudah dididik mengenai syurga dan neraka.
Dalam karya ini, Hamka ada menyebutkan yang paling berpengaruh dalam hidup manusia ialah harta. Manusia sanggup berhujan panas untuk harta bahkan juga sanggup melalui jalan haram untuk sesuap harta yang diangan-angankan. Manusia lalai kerana harta dunia. Mencari harta dunia demi kesenangan hidup, tetapi sama sekali lupa akan harta akhirat yakni bekalan yang ingin kita bawa ke sana.
Harta juga boleh membuatkan manusia lupa akan manusia lain seperti isteri yang sanggup meninggalkan suami tatkala sang suami tidak punya apa-apa. Harta juga mampu membuat hubungan adik-beradik terputus apalagi hubungan ibubapa dan anak.
Sesungguhnya, mereka lupa yang hidup ini hanya sementara maka dengan itulah fokus kepada harta dunia semakin menjadi-jadi dan menjadi keutamaan hingga lupa pada yang memberi rezeki. Lihatlah penarik sihir ini, sungguh besar sekali pengaruh harta atas diri manusia.
“Kejam sekali engkau harta. Engkau memperdayakan manusia padahal hanya dua meter tanah dan tiga lapis kafan.”
Selain harta, bakhil juga adalah penyakit. Ia berbahaya kepada manusia lantaran diperintah oleh wang, berkhidmat dan beribadat kepada harta. Janganlah kebakhilan diberi pintu ke dalam hati kerana bila ia telah masuk satu kali, sukar akan keluarnya.
Kerana takut akan hartanya habis, mereka mula waspada dengan segala kutipan derma yang hakikatnya akan membantu diri sendiri di akhirat kelak. Bagi golongan bakhil, harta yang mereka perolehi sekarang adalah atas usaha dan kerja keras mereka. Lantaran itu, mereka berpendapat bahawa orang lain juga perlu berusaha keras tanpa meminta-minta. Sedangkan mereka lupa harta itu juga ujian dan dalam rezeki kita ada rezeki orang lain juga.
Pesanan akhir buya Hamka dalam naskah ini haruslah manusia sentiasa berwaspada dengan mainan syaitan yang maha licik. Jika kita terjatuh dalam lembah kedurjanaan wajiblah pula ia menyedarinya sebelum ajal menjemput. Membaca naskah ini ternyata mampu membuka mata betapa hati jantung manusia perlu sentiasa sihat dan bersih.
Amalkanlah surah-surah harian agar hati dan fikiran kita bersih dari terus-menerus dengan syak wasangka berlebihan terhadap manusia yang baik dan juga mempersoalkan ujian dan dugaan yang diberi oleh Allah.
Setiap orang wajib memiliki buku ini. Cara penyampaian Hamka santai dan mudah difahami. Buku ini tidaklah seperti membaca buku teks dengan format pelbagai fakta di dalamnya. Ia lebih kepada teknik penceritaan agar pembaca lebih memahami apa yang ingin disampaikan dengan baik.
Sue Oshin adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.
.png)