
TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar mahu membersihkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) daripada ‘budaya angguk’ jika dilantik jadi Presiden penggal 2025-2029 nanti.
Shahril yang bakal bertembung dengan Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dalam perebutan dua penjuru sudah mula mengedarkan risalah manifesto kepada ahli gabungan FAM sejak semalam.
Menurut Shahril, manifesto berkenaan membawa beberapa teras utama seperti ketelusan, kepimpinan baharu, pengukuhan akar umbi serta kelestarian kewangan.
Shahril berkata, aspek ketelusan serta kepimpinan menjadi agenda penting dalam pengurusan FAM, terutama susulan isu pentadbiran yang dibangkitkan menerusi audit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum ini.
“Paling utama, saya mahu terapkan nilai ketelusan dalam menguruskan FAM. Kalau kita lihat daripada audit AFC baru-baru ini, ada isu berkaitan ketirisan, tidak telusan dan sebagainya.
“Kedua adalah kepimpinan cara baharu. Budaya angguk perlu dihapuskan kerana kita berada pada zaman moden dan generasi baharu tidak boleh lagi mengamalkan budaya seperti itu.
“Yang pasti, saya sudah mula mengedarkan manifesto dan dalam tempoh dua minggu (berkempen), Insya-Allah saya akan berjumpa pemegang taruh utama untuk berbincang mengenai idea pembaharuan FAM sekiranya saya terpilih,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, Shahril fokus kepada pembaharuan jangka pendek dengan FAM perlu mengambil kira keadaan Liga Malaysia, kelab dan ahli gabungan bagi memastikan keseluruhan ekosistem bola sepak kembali berkembang secara positif.
“FAM adalah badan induk bola sepak negara. Jadi, perspektifnya tidak boleh melihat FAM sahaja, sebaliknya keseluruhan ekosistem termasuk liga, kelab dan ahli gabungan.
“Kalau ada rezeki dan terpilih, tempoh yang ada hanya sekitar dua hingga dua setengah tahun. Jadi, saya tidak melihat manifesto untuk tiga, empat atau lima tahun.
“Saya mahu fokus kepada perkara jangka pendek dahulu dengan perubahan yang boleh dibuat dalam tempoh dua tahun untuk membetulkan keadaan kerana ini adalah titik paling rendah bagi saya dalam industri bola sepak negara,” katanya.
The post FAM: Shahril tawar cara baharu kepimpinan appeared first on Kosmo Digital.






