Hamidin buka laluan kepada regim baharu

5 Sep 2026 • 10:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hamidin buka laluan kepada regim baharu

PETALING JAYA: Tan Sri Hamidin Mohd Amin mengakui dia terpaksa membuat keputusan sukar untuk tidak bertanding merebut jawatan Presiden Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Meskipun dilaporkan menerima pencalonan tertinggi dan sokongan majoriti daripada ahli gabungan badan induk itu, Hamidin berkata, keputusan tidak bertanding merupakan jalan terbaik buatnya.

Presiden Kehormat FAM itu berkata, keputusan berkenaan bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan, namun beliau percaya langkah itu dibuat demi kestabilan organisasi serta masa depan bola sepak negara.

“Keputusan ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk saya lakukan, lebih-lebih lagi apabila saya dilaporkan menerima pencalonan tertinggi dan sokongan majoriti daripada sebahagian besar ahli gabungan FAM.

“Justeru, saya ingin memohon maaf dengan setulus hati kepada semua ahli gabungan FAM dan para penyokong bola sepak Malaysia yang telah memberikan kepercayaan serta sokongan kepada saya.

“Saya amat menghargai sokongan yang diberikan. Bagi saya, ia satu amanah dan kepercayaan besar daripada keluarga bola sepak Malaysia yang sentiasa saya junjung,” katanya.

Hamidin menjelaskan, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan pelbagai aspek termasuk kepentingan FAM secara keseluruhan dan beliau yakin pengundurannya mampu membuka ruang kepada proses pembaharuan dan peralihan kepimpinan yang lebih lancar.

Katanya, beliau tidak mahu pemilihan kali ini menjadi punca perpecahan dalam kalangan ahli gabungan atau menjejaskan usaha yang sedang dilakukan untuk mengembalikan keyakinan terhadap badan induk bola sepak negara itu.

“Setelah mempertimbangkan kepentingan FAM dan masa depan bola sepak negara secara menyeluruh, saya percaya langkah ini membuka ruang terbaik untuk FAM melangkah ke era baharu, sekali gus memastikan organisasi yang kita cintai ini kekal fokus dan terus bergerak ke hadapan.

“Saya tidak mahu sesi pemilihan ini menjadi punca perpecahan dalam kalangan ahli gabungan FAM atau menjejaskan usaha FAM untuk melaksanakan agenda pembaharuan dan pembangunan bola sepak negara.

“Sebaliknya, saya mahu melihat FAM terus kukuh, bersatu dan mendapat kembali keyakinan seluruh rakyat Malaysia terutamanya penyokong dan peminat bola sepak,” ujarnya. – UTUSAN

The post Hamidin buka laluan kepada regim baharu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved