
PETALING JAYA – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperuntukkan RM40 juta bagi pelaksanaan agenda rejuvenasi outlet pemasaran sepanjang Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), dengan sasaran membangunkan 241 outlet baharu dan menambah baik 411 outlet sedia ada.
Inisiatif itu bertujuan untuk memperluas akses pasaran bagi hasil pertanian dan produk agromakanan tempatan, di samping meningkatkan daya saing usahawan melalui rangkaian peruncitan dan pemborongan yang lebih moden serta tersusun.
Pengarah Kanan Bahagian Institusi Pasaran FAMA, Intan Suraya Ibeni Hajar berkata, pelaksanaan agenda berkenaan merangkumi pembangunan infrastruktur, pengukuhan ekosistem perniagaan dan peningkatan keupayaan usahawan.

“Rejuvenasi bukan sekadar mencantikkan outlet. Apa yang lebih penting ialah bagaimana kita membangunkan ekosistem perniagaan yang lebih moden supaya outlet kekal relevan, usahawan lebih berdaya saing dan pengguna mendapat pengalaman serta akses kepada produk agromakanan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Intan Suraya, peruntukan RM40 juta itu meliputi enam skop utama, iaitu penambahan outlet baharu, penambahbaikan outlet sedia ada, pembangunan ekosistem peruncitan dan pemborongan, pembangunan premis usahawan runcit kepada Agrobazaar Rakyat Pemborongan serta latihan dan peningkatan kapasiti.
Jelanya sasaran 241 outlet baharu melibatkan antaranya Pasar Tani, Agrobazaar Rakyat, Agrobazaar Kedai Rakyat, Gerai Buah-Buahan Segar dan Karavan Tani manakala penambahbaikan 411 outlet sedia ada pula akan memberi tumpuan kepada penyediaan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif dan teratur.
“Bagi memperkukuh rantaian pemasaran, FAMA turut menyasarkan pembangunan 15 outlet Agrobazaar Rakyat Pemborongan serta empat outlet di bawah ekosistem pemborongan bagi mengukuhkan hubungan antara pengeluar, pemborong, peruncit dan pengguna,” ujarnya.
Selain itu, Intan Suraya menerangkan, turut difokuskan adalah penggunaan transaksi tanpa tunai, media sosial dan platform digital bagi membantu usahawan memperluas saluran jualan serta mengurangkan kebergantungan kepada perniagaan secara fizikal.

Tambah beliau, sebanyak 480 program promosi dan advokasi juga dirancang untuk meningkatkan kesedaran pengguna terhadap outlet pemasaran FAMA serta menggalakkan pembelian produk pertanian dan agromakanan tempatan.
Pembangunan usahawan akan disokong melalui 32 program latihan dan peningkatan kapasiti, merangkumi dua konvensyen usahawan, 20 kursus serta 10 program Mahasiswa Pasar Tani.
Program Mahasiswa Pasar Tani memberi tumpuan kepada usaha menarik penyertaan belia dan mahasiswa dalam keusahawanan agromakanan, termasuk melalui penggunaan teknologi dan pemasaran digital.
Menurut Intan Suraya, pembangunan generasi pelapis turut menjadi keutamaan bagi memastikan golongan muda dapat meneroka peluang perniagaan dalam sektor agromakanan menerusi pendekatan pemasaran dan model perniagaan yang lebih moden.
“Kita mahu golongan muda melihat sektor agromakanan sebagai satu bidang keusahawanan yang mempunyai potensi. Dengan teknologi, pemasaran digital dan model perniagaan yang lebih moden, terdapat ruang yang luas untuk generasi muda meneroka sektor ini,” katanya.
Usahawan mikro turut diberi perhatian menerusi projek Agro-Jaja yang menyasarkan 100 usahawan penjaja di RTC Kelantan untuk menerima manfaat melalui pembangunan imej dan penyediaan peralatan perniagaan.
“Matlamat akhirnya ialah memastikan pembangunan yang dilaksanakan memberi manfaat kepada kumpulan sasar. Kita mahu outlet yang lebih baik, usahawan berkembang, pasaran diperluaskan dan pengguna turut mendapat manfaat,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE
The post FAMA peruntuk RM40 juta laksana rejuvenasi outlet pemasaran sepanjang RMK13 appeared first on Kosmo Online.


