liza07/10/2026 - 14:26 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Okt – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperuntukkan RM40 juta sepanjang Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) untuk mengubah dan menaik taraf rangkaian outlet pemasaran pertanian, termasuk membuka 241 outlet baharu serta menambah baik 411 outlet sedia ada.
Pengarah Kanan Bahagian Institusi Pasaran FAMA, Intan Suraya Ibeni Hajar berkata, penambahbaikan outlet perlu dilihat sebagai usaha membina persekitaran perniagaan yang mampu berkembang seiring perubahan pasaran dan cara pengguna membeli.
“Proses naik taraf ini bukan sekadar mencantikkan outlet. Apa yang lebih penting ialah bagaimana kita membangunkan ekosistem perniagaan yang lebih moden supaya outlet kekal relevan, usahawan lebih berdaya saing dan pengguna mendapat pengalaman serta akses kepada produk agromakanan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Daripada Pasar Tani dan Agrobazaar Rakyat kepada Gerai Buah-Buahan Segar dan Karavan Tani, sebanyak 241 outlet baharu akan dibangunkan bagi memperluas rangkaian pemasaran FAMA.
Selain itu, 411 outlet sedia ada pula akan dinaik taraf supaya lebih kondusif kepada usahawan dan pengguna.
Beliau berkata perubahan itu turut membawa unsur digital ke dalam operasi outlet menerusi transaksi tanpa tunai (cashless), penggunaan media sosial dan platform digital.
“Ini memberi ruang kepada usahawan untuk mencari pelanggan di luar premis fizikal dan memperluas jualan melalui saluran dalam talian.
“Dengan pendekatan itu, outlet tidak lagi hanya menjadi tempat usahawan menunggu pelanggan datang, tetapi boleh menjadi titik penghubung antara produk, usahawan, pasaran dan pengguna,” katanya.

Dari pengeluar ke pengguna
FAMA turut mahu memperkemas bahagian pemborongan supaya produk pertanian mempunyai laluan pemasaran yang lebih tersusun selepas keluar daripada peringkat pengeluaran.
Sebanyak 15 outlet Agrobazaar Rakyat Pemborongan dan empat outlet di bawah ekosistem pemborongan akan dibangunkan sepanjang RMK13.
Pada masa sama, 480 program promosi dan advokasi akan dilaksanakan untuk memperkenalkan outlet serta produk usahawan kepada pengguna dan menggalakkan pembelian hasil pertanian tempatan.
Penglibatan anak muda
Perubahan dalam sistem pemasaran itu turut disokong dengan usaha menarik lebih ramai usahawan baharu, khususnya golongan muda.
Beliau berkata sebanyak 32 program latihan dan peningkatan kapasiti akan dilaksanakan, merangkumi dua konvensyen usahawan, 20 kursus dan 10 program Mahasiswa Pasar Tani.

“Golongan muda perlu melihat agromakanan bukan sekadar sektor pengeluaran, tetapi turut mempunyai ruang besar dalam bidang perniagaan, teknologi dan pemasaran digital.
“Kita mahu golongan muda melihat sektor agromakanan sebagai satu bidang keusahawanan yang mempunyai potensi. Dengan teknologi, pemasaran digital dan model perniagaan yang lebih moden, terdapat ruang yang luas untuk generasi muda meneroka sektor ini,” katanya.
Usahawan mikro juga tidak diketepikan menerusi projek Agro-Jaja yang menyasarkan 100 usahawan penjaja di RTC Kelantan, termasuk melalui pembangunan imej dan penyediaan peralatan perniagaan.
Tambahnya, matlamat akhir FAMA ialah memastikan pembangunan yang dilaksanakan memberi manfaat kepada kumpulan sasar dengan outlet yang lebih baik, usahawan berkembang, pasaran diperluaskan dan pengguna turut mendapat manfaat.
Pendekatan itu selari dengan agenda FAMA menerusi tema “Pengukuhan Pemasaran Menjamin Kedaulatan Makanan”, dengan usaha memastikan rangkaian pemasaran pertanian terus berkembang mengikut keperluan usahawan dan pengguna. - DagangNews.com




