Farhash nafi seleweng berbilion ringgit, jadi warganegara Türkiye

LocalPolitics
6 May 2026 • 12:02 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Farhash nafi seleweng berbilion ringgit, jadi warganegara Türkiye

KUALA LUMPUR - Ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador tampil menafikan sekeras-kerasnya fitnah dan tuduhan berat mendakwa beliau terbabit dengan kegiatan mencuri serta pengubahan wang haram berjumlah berbilion ringgit di luar negara.

Kenyataan penafian itu dibuat selepas beberapa media menyiar dan mengulangi laporan yang diterbitkan pada 22 April, 23 April dan 5 Mei lalu membabitkan kegiatan haram itu di luar negara antaranya Turkiye dan Afrika.

Dakwaan bahawa beliau kini sudah bergelar seorang warganegara Türkiye turut dinafikan.

"Saya dengan tegas dan tanpa sebarang keraguan menafikan semua tuduhan tersebut. Dakwaan-dakwaan ini adalah tidak benar, tidak berasas dan bersifat fitnah yang jelas bertujuan untuk mencemarkan reputasi serta integriti saya, selain memberi kesan negatif kepada kehidupan peribadi dan urusan perniagaan saya.

"Untuk penjelasan, saya bukan seorang warga Turkiye, tidak pernah terbabit dalam sebarang aktiviti mencuri atau pengubahan wang haram seperti yang didakwa, dan tidak mempunyai sebarang akaun bank di Turkiye.

"Saya hanyalah seorang ahli perniagaan dan tidak terbabit dalam politik sekarang. Saya langsung tidak mengetahui mengapa saya diheret ke dalam perkara ini, melainkan bahawa individu-individu tersebut mempunyai niat sebaliknya untuk meraih kepentingan politik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Farhash berkata beliau memandang serius penyebaran rakaman video tersebut, yang disebarkan dengan niat jahat oleh pihak-pihak tertentu. Tindakan ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah berpotensi melanggar undang-undang.

"Sehubungan itu, saya telah membuat laporan polis dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan, termasuk Seksyen 499 Kanun Keseksaan. Saya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam proses siasatan ini," katanya lagi.

Bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sudah mengarahkan pasukan peguamnya untuk mengambil dan memfailkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang terbabit menyebarkan fitnah demi melindungi nama baik serta kepentingan dirinya.

Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan atau mempercayai maklumat yang tidak disahkan, dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara adil dan telus, katanya. - 6 Mei, 2026

The post Farhash nafi seleweng berbilion ringgit, jadi warganegara Türkiye appeared first on Scoop.