Farhash saman Rafizi lagi

LocalPolitics
24 Oct 2026 • 6:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Farhash saman Rafizi lagi
Farhash (kanan) mengambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi berhubung kenyataan berunsur fitnah yang didakwa diterbitkan mengenai dirinya menerusi sebuah podcast.

SHAH ALAM - Ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli berhubung kenyataan berunsur fitnah yang didakwa diterbitkan mengenai dirinya menerusi sebuah podcast.

Peguam yang mewakili Farhash, Datuk Seri Rajan Navaratnam berkata, writ saman dan Pernyataan Tuntutan difailkan pada Khamis selepas meneliti kenyataan dibuat dalam podcast di saluran YouTube milik bekas Menteri Ekonomi itu.

Menurutnya, podcast bertajuk Dari Umno ke PKR: Zetrix - Kerajaan Bertukar, Kroni Berpindah? | YBM #68 itu diterbitkan pada 16 Oktober lalu dan berdurasi kira-kira tiga jam 14 minit.

"Podcast berkenaan mengandungi kenyataan mengenai kepentingan perniagaan Farhash, hubungan korporat, dakwaan kaitan dengan tokoh politik serta tuduhan berkaitan kronisme dan perolehan kontrak kerajaan.

“Dokumen mahkamah berkenaan sedang dalam proses diserahkan kepada Rafizi mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Rajan, tindakan itu merupakan kali kedua Farhash mengambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi.

Beliau berkata, anak guamnya berpandangan penerbitan berulang kenyataan berunsur fitnah terhadap dirinya mempunyai unsur niat jahat dan boleh menjejaskan reputasinya.

“Anak guam kami memandang serius dakwaan ini dan berpendirian bahawa perkara seumpama itu perlu ditangani melalui proses undang-undang yang betul serta diputuskan berdasarkan bukti dan undang-undang yang terpakai," menurutnya.

Justeru, Rajan menambah, ahli perniagaan terbabit menyerahkan perkara itu kepada mahkamah yang mulia untuk diputuskan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved