Farhash Wafa Salvador muncul sebagai pemegang saham besar HeiTech Padu

Business & Finance
14 Mar 2024 • 5:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Farhash Wafa Salvador muncul sebagai pemegang saham besar HeiTech Padu

johardy

14/03/2024 - 17:26

KUALA LUMPUR 14 Mac - Bekas setiausaha politik Perdana Menteri, Datuk Wira Farhash Wafa Salvador muncul sebagai pemegang saham terbesar di dalam Heitech Padu Berhad iaitu sebanyak 15.9% kepentingan menerusi Rosetta Partners Sdn Bhd.

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Farhash yang menguasai Rosetta Partners Sdn Bhd telah membeli 16.1 juta saham Heitech Padu dalam dua transaksi itu 6.158 juta saham pada 11 Mac dan 9,691 juta saham pada 12 Mac menerusi urus niaga langsung.

Perkembangan ini menyusul selang beberapa hari sahaja MyEG Services Bhd diumumkan memperoleh 14.4% kepentingan dalam HeiTech Padu pada harga RM31.25 juta sebagai sebahagian daripada pelaburan strategiknya.

MyEG Capital Sdn Bhd memperoleh pegangan 14.57 juta saham melalui pasaran terbuka dan sebanyak 5.16 juta saham dibeli daripada pasaran terbuka pada 7 Mac dengan tunai RM11 juta atau RM2.134 sen sesaham HeiTech.

HeiTech Padu merupakan syarikat teknologi komunikasi dan maklumat yang menawarkan rangkaian perkhidmatan termasuk penyepaduan sistem, pembangunan aplikasi, perkhidmatan infrastruktur terurus dan penyelesaian inovatif merentas sektor serta pembangunan inisiatif e-kerajaan.

image is not available

Malah pada 11 Mac lalu, HeiTech Padu menerima lanjutan kontrak bernilai RM13.1 juta daripada kerajaan bagi menyelenggara sistem myIMMs secara komprehensif di Jabatan Imigresen.

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, lanjutan kontrak itu adalah selama 12 bulan bermula 18 Februari 2024 hingga 17 Februari 2025.

Saham Heitech Padu mencatat penurunan 15.03 peratus atau 43 sen pada RM2.43 ketika Bursa Malaysia ditutup hari ini, memberikan permodalan pasarannya sebanyak RM245.98 juta. - DagangNews.com