Farhatul Fairuzah Selamat Diijabkabulkan 

LocalEntertainment
14 Dec 2024 • 11:07 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Farhatul Fairuzah Selamat Diijabkabulkan

Pendakwah dan juara qariah Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2019, Nor Farhatul Fairuzah Panut selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz sebagai isteri kepada Ilham Amri pagi tadi, lapor Gempak.

Farhatul, 24, dinikahkan oleh abangnya dengan mas kahwin sebanyak 1 Dinar emas.

Upacara suci itu menyaksikan kedua pengantin tampil berbusana putih berseri di sebuah ruang acara.

Ilham yang juga seorang ustaz merupakan Mutawwif bagi sebuah syarikat pelancongan.

Menerusi temubual bersama pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), anak kelahiran Sepang ini merupakan anak bongsu daripada lima orang adik-beradik. Di samping meneruskan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Al-Quran dan Sunnah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Farhatul menerima pelbagai anugerah dan pencapaian termasuk menjadi Ahli Mahkota Selangor (A.M.S.), “Top Rising Achievement Award In Al-Quran Recitation (Tilawah)” pada 2022.

Pendakwah muda ini tidak hanya aktif di media sosial, dia turut bergerak aktif menyertai misi-misi kemanusiaan di Timur Tengah. Terbaru, Farhatul memuat naik di laman Instagram miliknya berkenaan aktiviti kemanusiaan yang dijalankan bersama pasukannya di Syria.

Difahamkan, Ikon Dakwah Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) ini bercita-cita untuk menyambung pengajiannya ke peringkat Sarjana, juga dalam bidang Al-Quran.

“Saya masih lagi seorang pelajar dan dalam masa yang sama aktif dalam media sosial serta program televisyen. Kesemuanya bukan mudah untuk kita bahagikan amsa dan saya cuba sebaiknya.

“Untuk (berkongsi) tip, bukan mudah menjadi pempengaruh yang berjaya. Mungkin orang hanya melihat sisi terkenal sahaja, tetapi kita perlu bijak dan berilmu pengetahuan,” kongsinya.

Menurutnya lagi, untuk menjadi pempengaruh kepada masyarakat terutamanya golongan remaja, seseorang itu perlu memberi manfaat kepada orang lain.

Menyingkap kejayaan Farhatul merangkul juara Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan selama empat tahun berturut-turut, langkah pertamanya bermula sejak pendakwah ini berusia lima tahun.

“Saya belajar Al-Quran dan Taranum pada usia lima tahun dan menyertai pertandingan tilawah pada usia tujuh tahun,” tambahnya.