“Fasha Sandha, Economy Class?” - Fasha Sandha Terkilan Ditegur Pramugari, Harap Kru Penerbangan Lebih Sensitif

3 Apr 2025 • 4:55 AM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Pelakon popular, Fasha Sandha berkongsi pengalaman kurang menyenangkan ketika menaiki sebuah penerbangan sempena sambutan Aidilfitri yang turut jatuh pada hari ulang tahun perkahwinannya pada 30 Mac lalu.

Menerusi catatan yang dimuat naik Fasha di Instagramnya, dia mendedahkan dirinya ditegur oleh seorang pramugari dengan pertanyaan yang dirasakannya tidak wajar.

“Tiba-tiba je pramugari sambut saya dengan ayat: ‘Fasha Sandha… ECONOMY CLASS?’ Saya dan anak-anak terkejut sebab sepanjang kami travel, tak pernah ditanya begitu,” kongsi Fasha.

Berjimat, bersederhana

Menurut Fasha, walaupun bergelar selebriti, dia memilih untuk menaiki kelas ekonomi atas dasar berjimat dan mengamalkan gaya hidup sederhana.

“Sejak umur 18 tahun, saya memang biasakan diri naik economy class. Mampu atau tidak, itu bukan isu. Saya lebih selesa berjimat dan tidak membazir untuk sesuatu yang tidak perlu,” katanya lagi.

Fasha turut menegaskan bahawa duduk di kelas ekonomi bukanlah sesuatu yang memalukan, malah ia pilihan peribadi yang wajar dihormati oleh semua pihak, termasuk kru penerbangan.



“VIP ke, YB ke, selebriti ke, tak salah pun duduk di economy. Sebagai pramugari, tak perlulah buat terkejut atau tanya soalan yang boleh mengguris hati penumpang," tambahnya.



image is not available



Menurut Fasha, insiden itu bukan sahaja menimbulkan rasa kurang senang buat dirinya, malah anak-anaknya juga turut terkilan apabila ia berlaku di hadapan mereka.



Walau bagaimanapun, selepas menyedari teguran tersebut tidak kena pada tempatnya, seorang pramugari lain tampil memohon maaf kepada Fasha secara peribadi.



“Saya harap perkara ini jadi pengajaran. Apa yang terlintas di hati, simpan dalam hati. Jangan diluahkan di depan penumpang, lebih-lebih lagi di depan anak-anak," pesan Fasha.

Bukan nak aibkan sesiapa

Fasha turut menegaskan bahawa dia menghormati kerjaya sebagai pramugari dan tidak berniat mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya hanya mahu kejadian tersebut dijadikan panduan untuk menambah baik mutu perkhidmatan.



“Saya memang pandang tinggi pada profesion pramugari. Tapi bila jadi macam ni, saya buat aduan secara rasmi supaya layanan dapat diperbaiki,” katanya sambil berharap penumpang lain tidak mengalami pengalaman serupa.