Fasiliti kawalan pelepasan di loji jana kuasa Tanjung Bin Energy milik Malakoff musnah terbakar 70%, kata bomba

03/10/2025 - 17:19
Foto kredit Malakoff Corporation Berhad Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 3 Okt – Satu kebakaran besar dilapor memusnahkan kira-kira 70 peratus fasiliti kawalan pelepasan loji jana kuasa Tanjung Bin Energy (TBE) di Pontian, Johor lewat 2 Oktober 2025.
Ia melibatkan sistem penyahbelerang gas serombong (FGD) dan terowong cerobong dengan insiden tersebut disifatkan sebagai kejadian industri serius sejak premis itu dikomersialkan pada 2016.
Menurut Komander Operasi Kanan Bomba, Penolong Penguasa Bomba Mahadir Mamat, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.22 malam, sebelum menggerakkan 22 anggota dari tiga balai.
“Operasi pemadaman dilaksanakan mengikut dua sektor dengan sokongan 10 anggota pasukan tindak balas kecemasan (ERT) dan enam anggota bomba pelabuhan Tanjung Bin,” jelasnya dalam kenyataan.
Kebakaran tersebut bagaimanapun berjaya dikawal sepenuhnya pada awal pagi 3 Oktober 2025 tanpa melibatkan sebarang kecederaan atau korban jiwa dengan turut dibantu pasukan bomba sukarela dari Benut.
Mahadir mengesahkan kebakaran memusnahkan sekitar 70% bahagian sistem FGD, yang merupakan komponen penting dalam mengurangkan pelepasan gas sulfur daripada operasi loji jana kuasa tersebut.
"Pemantauan dan tindakan susulan kini sudah diserahkan kepada pengendali loji berkenaan, Malakoff Corporation Berhad, bersama-sama pasukan kecemasan dalaman mereka sendiri," jelas beliau.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan pihak berkuasa ketika ini. Loji TBE diuruskan oleh Tanjung Bin Power Sdn Bhd yang sebelum itu dikenali sebagai SKS Power Sdn Bhd.
Malakoff memiliki 90% kepentingan dalam syarikat itu. Lokasi kejadian berdekatan Pelabuhan Tanjung Pelepas serta terletak 30 kilometer dari Pontian dan 65 kilometer dari Johor Bahru. - DagangNews.com
standard


