
PETALING JAYA: Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Fatimah Abu Bakar menyarankan setiap pengkarya sedar batas meskipun bebas untuk meneroka kreativiti dalam menghasilkan sesebuah karya.
Menurut Fatimah, pengkarya baharu atau pun lama seharusnya lebih peka terhadap sensitiviti persekitaran biarpun telah diberikan kelonggaran untuk berkarya secara bebas.
“Pengkarya perlu tahu batasan sendiri, apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan. Kita juga perlu peka dengan keadaan, ruang dan persekitaran.
“Bergantung kepada di mana kita berada, di situlah kita boleh menggunakan kreativiti secara lebih terbuka.
“Namun, kalau boleh, saya juga berharap pihak berkaitan dapat memberikan lebih banyak ruang dan kebebasan, khususnya kepada penulis skrip muda kita,” katanya ketika ditemui di sidang media Projek Sinema: Pencetus Aspirasi Filem di Menara Finas, hari ini.
Fatimah berkata demikian susulan kontroversi drama bersiri Madu Atau Racun yang mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat kerana mengangkat isu hubungan sejenis.
Fatimah bagaimanapun mengakui sukar untuk menentukan batas yang boleh diterima umum memandangkan penerimaan setiap individu mengenai sesetengah isu bersifat subjektif.
“Sukar untuk saya tentukan kerana mungkin sesuatu yang saya anggap okey, orang lain pula merasakan isu seperti ini tidak okey. Perkara sebegini sangat subjektif. Secara keseluruhannya, jadilah sekreatif yang anda mahukan.
“Tetapi pada masa sama, kita perlu bersikap praktikal, berpijak pada realiti tentang di mana kita berada serta memahami tanggungjawab yang dipikul. Memang sukar untuk mencari keseimbangan antara kedua-duanya,” ujarnya.
The post Fatimah Abu Bakar saran pengkarya sedar batas appeared first on Utusan Malaysia.


