Kebebasan berkarya perlu jaga sensitiviti masyarakat berbilang kaum – Hans Isaac

LocalMovie
3 Sep 2026 • 5:46 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Kebebasan berkarya perlu jaga sensitiviti masyarakat berbilang kaum – Hans Isaac

Pengerusi FINAS Datuk Dr Hans Isaac mengingatkan pengkarya filem agar menjaga kebebasan berkarya dengan mematuhi sensitiviti masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

PETALING JAYA: Kebebasan berkarya perlu disertai kepekaan terhadap batas tertentu bagi memastikan kandungan yang dihasilkan tidak menjejaskan hubungan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Dr Hans Isaac berkata pengkarya harus menyedari keunikan struktur sosial negara sebelum menetapkan hala tuju penceritaan dalam karya masing-masing.

“Kita mempunyai kebebasan, tetapi kebebasan itu perlu dijaga kerana kita mempunyai kaum dan budaya yang berbeza. Negara kita sangat unik dan kita perlu memahami batas tertentu itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Sinema: Pencetus Aspirasi Filem Malaysia di Menara FINAS di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan mengetengahkan sesuatu topik kontroversi merupakan pilihan kreatif penerbit yang perlu dihormati, namun pengkarya juga harus memahami kesannya terhadap masyarakat.

“Kontroversi memang boleh menarik perhatian dan mungkin elemen itu digunakan untuk mendapatkan rating. Itu keputusan kreatif penerbit dan kita menghormatinya.

“Tetapi kita mesti memahami bahawa kita datang dari negara bernama Malaysia, dengan rakyat daripada pelbagai budaya dan latar belakang. Ada banyak cara untuk menjadi kreatif dalam menyampaikan cerita tanpa menjejaskan hubungan antara masyarakat,” katanya.

Hans berkata rakyat Malaysia kini hidup dalam suasana harmoni dan keadaan itu tidak seharusnya digugat menerusi kandungan yang boleh menimbulkan ketegangan.

Semalam, platform penstriman iQIYI dan MIG Production selaku penerbit drama “Madu Atau Racun” bersetuju menurunkan sementara enam episod yang telah ditayangkan, manakala kesemua 12 episod akan disunting serta dinilai semula sebelum dipertimbangkan untuk tayangan semula.

Drama itu mencetuskan kontroversi selepas beberapa klip yang didakwa mengandungi elemen hubungan sejenis tular di media sosial sehingga mengundang kritikan kerana menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan

Mengenai Projek Sinema: Pencetus Aspirasi Filem Malaysia, Hans berkata program latihan intensif selama 16 hari itu membuka laluan kepada 24 peserta yang dipilih daripada 49 pemohon untuk memperoleh pengalaman sebenar dalam industri perfileman.

— LAGI

FINAS-BATAS 3 (AKHIR) PETALING JAYA

Beliau berkata selepas tamat latihan, peserta akan dipadankan dengan projek produksi yang menerima pembiayaan di bawah Dana Kandungan Kreatif (DKK), sekali gus membolehkan mereka mempraktikkan pengetahuan dipelajari.

“Kita mahu peserta menjadi sebahagian daripada projek produksi. Kalau sekadar menyediakan latihan teknikal tanpa dipraktikkan, saya rasa kita membuang masa dan wang rakyat,” katanya.

Program itu merangkumi pembangunan idea dan penulisan skrip, lakonan, pengarahan dan kamera serta penerbitan dengan bimbingan lapan penggiat industri berpengalaman.

Hans berkata FINAS mahu menjadi jambatan bagi membantu peserta merealisasikan impian sebagai pembikin filem serta menghasilkan karya berkualiti yang mengetengahkan cerita, budaya dan pengalaman rakyat Malaysia.

Sementara itu, peserta program yang juga Pengurus Kanan Fether Post Sdn Bhd B.K. Durgashini Naidu berkata program berkenaan memberinya peluang mendalami aspek pemasaran, pengarahan, lakonan dan penulisan skrip, selain memahami peranan penerbit dalam menilai potensi sesebuah cerita.

“Penerbitan sememangnya satu perniagaan, tetapi pada masa sama saya sentiasa memikirkan nilai moral yang mahu disampaikan kepada masyarakat menerusi sesebuah karya,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved