'Fatwa haram': Muhyiddin perlu dikenakan tindakan

Politics
4 Sep 2023 • 5:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Harith (hadapan, dua dari kiri) dan Fadhli Umar (kiri) pada sidang media setelah membuat laporan polis di Balai Polis Tampoi, pada Isnin.

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) mahu tindakan diambil terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan kenyataannya yang mendakwa mengundi calon PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Parlimen Pulai adalah haram.

Menurut Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Pulai, Mohd Harith Hambali, 36, ucapan Muhyiddin itu dilihat radikal dan tidak seharusnya berlaku dalam kempen PRK kerana ia turut melibatkan isu bangsa, agama dan institusi Diraja (3R).

"Ucapan seperti ini tidak seharusnya dibuat oleh mana-mana pemimpin parti kerana ia mencemarkan cemar imej dan mengelirukan pengundi.

"Sebab itu kami buat laporan ini agar siasatan dapat dilakukan terhadap Tan Sri Muhyiddin.

"Kita berharap kenyataan isu haram itu tidak dipergunakan dalam PRK kerana ia seperti mempergunakan agama yang mana politik sewajarnya digunakan bagi tujuan imarah agama dan bukan untuk dipermainkan," katanya.

Mohd Harith berkata demikian kepada pemberita setelah membuat laporan polis bersama Pemuda PH dan Barisan Nasional (BN) berhubung fatwa sesat Muhyiddin di Balai Polis Tampoi, pada Isnin.

Sementara itu, Exco Pemuda Amanah Nasional yang juga Ketua Bahagian Perundangan Jentera PH negeri, Fadhli Umar berkata, kenyataan Muhyiddin itu merbahaya, melanggar undang-undang dan mampu menggugat keharmonian kaum di Johor.

"Kenyataan ini juga dilihat menggugat kuasa yang diletakkan kepada tuanku Sultan sebab kuasa fatwa di bawah negeri atau kerajaan.

"Jadi adakah beliau (Muhyiddin), mahu melanggar kuasa sultan dan ambil kuasa itu? Saya mahu siasatan dilakukan segera. Walau KPN (Ketua Polis Negara) kata, siasatan dibuka tetapi kita mahu siasatan dibuat terus sebab langgar fatwa Johor.

"Tindakan ini perlu disegerakan polis dan dalam masa sama kita juga akan terus pantau tindakan ini agar tidak di mainkan oleh mana-mana pihak," katanya.