Polis akan rakam keterangan Muhyiddin berkaitan 'fatwa' politik

Politics
4 Sep 2023 • 6:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ayob Khan

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia akan memanggil bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dirakam keterangan berhubung dakwaan kenyataannya bahawa haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Sabtu ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap Muhyiddin.

"Ada laporan dibuat, kita akan siasat. Fatwa ini hanya boleh dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Ayob Khan berkata, pihaknya akan memanggil individu yang membuat kenyataan tentang isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja).

"Nasihat dan amaran sudah dibagi, jika masih ada individu yang membuat kenyataan 3R, kita akan panggil dan siasat, kita tidak akan bertolak ansur.

"Jangan beranggapan kita berpolitik, kita berkedudukan, boleh mengeluarkan sebarang kenyataan menjurus ke arah isu 3R," tegasnya.

Siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dilakukan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Pada Sabtu, Ahli Parlimen Pagoh itu semasa Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas di Johor Bahru didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa "haram memberikan undi kepada Suhaizan."

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.