Favelle Favco menang tiga kontrak berjumlah RM504 juta bekalkan kren dihantar pada 2Q27

LocalBusiness & Finance
2 Jul 2026 • 6:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Favelle Favco menang tiga kontrak berjumlah RM504 juta bekalkan kren dihantar pada 2Q27 Image from: Favelle Favco menang tiga kontrak berjumlah RM504 juta bekalkan kren dihantar pada 2Q27 amree02/07/2026 - 18:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 JulaiFavelle Favco Berhad mengukuhkan buku tempahannya apabila memenangi tiga kontrak bernilai RM504 juta bagi membekalkan kren dan akan dihantar menjelang tempoh suku kedua 2027.

 

Menurut makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia, sebahagian besar tempahan baharu didorong oleh peningkatan pelaburan global dalam infrastruktur berkaitan kecerdasan buatan (AI).

 

Jelasnya, surat hasrat (LOA) mengenai kontrak terbaharu berkenaan diterima oleh anak syarikatnya sendir, Favelle Favco Cranes (M) Sdn Bhd, dalam tempoh antara 29 Mei 2026 hingga 2 Julai 2026.

 

"Ia meliputi pembekalan kren luar pesisir kepada Floating Production Solutions Sdn Bhd, dan Dialog E&C Sdn Bhd, serta pembekalan kren menara kepada Samsung C&T Corporation," jelas Favelle Favco.

 

Tambah kumpulan tersebut, kedua-dua kontrak pembekalan kren luar pesisir berkenaan dijangka dapat disiapkan sebelum dihantar terus kepada pelanggan terbabit menjelang tempoh suku kedua 2027.

 

Sementara itu, bagi kontrak membabitkan Samsung C&T Corporation pula, penghantaran kren menara akan dilaksanakan secara berperingkat bermula penghujung 2026 sehingga suku kedua 2027.

 

Sebahagian besar nilai tempahan baharu berkenaan tambahnya, disumbangkan oleh pelaburan pelanggan dalam pembangunan infrastruktur berkaitan AI yang kini berkembang pesat di peringkat global.

 

"Justeru, Favelle Favco optimis berada pada kedudukan baik memanfaatkan pertumbuhan berterusan pelaburan AI yang dijangka terus mewujudkan peluang perniagaan baharu kepada kumpulan," katanya.

 

Ujarnya lagi, kontrak-kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 serta tahun-tahun berikutnya.

 

Syarikat berkenaan turut menjelaskan bahawa penerimaan kontrak tersebut dijangka tidak akan memberi sebarang kesan material terhadap modal saham dan struktur pegangan saham kumpulan itu.

 

Pada masa sama, Favelle Favco memaklumkan tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau mereka mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut.

 

"Lembaga Pengarah berpandangan penerimaan kontrak itu adalah demi kepentingan terbaik kerana bukan sahaja mengukuhkan buku tempahan kumpulan, malah mencerminkan keyakinan pelanggan," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved