Favelle Favco sasar peluang baharu dalam industri pelabuhan, limbungan kapal dan AI

LocalBusiness & Finance
24 Nov 2026 • 5:57 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Favelle Favco sasar peluang baharu dalam industri pelabuhan, limbungan kapal dan AI Image from: Favelle Favco sasar peluang baharu dalam industri pelabuhan, limbungan kapal dan AI liza24/11/2026 - 17:57 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Nov – Peningkatan pelaburan dalam infrastruktur kecerdasan buatan (AI) serta perkembangan industri pelabuhan dan limbungan kapal membuka ruang pertumbuhan baharu kepada Favelle Favco Bhd ketika kumpulan itu berdepan persekitaran pasaran global yang masih tidak menentu.

 

Pengeluar kren itu berkata, pihaknya mula melihat perkembangan menggalakkan di beberapa rantau dan segmen pasaran terpilih dengan industri pelabuhan serta limbungan kapal dikenal pasti antara bidang yang menawarkan peluang baharu kepada perniagaannya.

 

Selain itu, pertumbuhan berterusan pelaburan infrastruktur berkaitan AI turut membuka prospek kepada kumpulan, khususnya dalam segmen automasi pintar yang menjadi antara bidang operasi Favelle Favco.

 

Bagaimanapun, kumpulan tidak mengambil mudah perkembangan tersebut apabila ketegangan geopolitik di Asia Barat dan ketidaktentuan ekonomi global masih boleh mempengaruhi sentimen pasaran serta keputusan pelaburan industri.

 

Dalam menghadapi keadaan itu, Favelle Favco berkata, pihaknya akan terus mengambil pendekatan berhati-hati sambil memantau perkembangan pasaran bagi mengenal pasti peluang perniagaan yang tersedia.

 

Buku tempahan RM1.42 bilion jadi sandaran

Di sebalik ketidaktentuan pasaran, kumpulan mempunyai buku tempahan tertunggak kira-kira RM1.416 bilion setakat 18 November 2026, termasuk RM133.7 juta daripada segmen automasi pintar.

 

Buku tempahan itu merangkumi projek daripada industri minyak dan gas global, limbungan kapal, pembinaan, turbin angin serta automasi pintar, sekali gus mencerminkan pendedahan perniagaan kumpulan kepada pelbagai sektor industri.

 

Daripada jumlah itu, perniagaan kren kekal sebagai penyumbang terbesar kepada operasi kumpulan, dengan hasil sebanyak RM501.64 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, manakala segmen automasi pintar menyumbang RM120.71 juta.

 

Keuntungan selepas cukai meningkat 20.9%

Dari sudut kewangan, Favelle Favco merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) RM39.97 juta bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026, meningkat 20.9% berbanding RM33.07 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan keuntungan itu disokong pertumbuhan hasil sebanyak 11.2% kepada RM622.35 juta daripada RM559.59 juta, manakala keuntungan sebelum cukai meningkat kepada RM54.08 juta berbanding RM50.20 juta.

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, hasil kumpulan melonjak kepada RM260.66 juta berbanding RM154.10 juta dalam suku sama tahun sebelumnya.

 

Keuntungan selepas cukai bagi suku berkenaan turut meningkat kepada RM16.34 juta daripada RM6.83 juta, manakala keuntungan sebelum cukai naik kepada RM21.48 juta berbanding RM11.17 juta.

 

Bagaimanapun, aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi bagi tempoh sembilan bulan berkenaan susut kepada RM73.84 juta daripada RM81.92 juta setahun sebelumnya. Jumlah pinjaman kumpulan pula berjumlah RM261.31 juta setakat 30 September 2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved