118 unit hartanah industri Mah Sing, KLK Land di Kulai Johor habis ditempah dalam tempoh sebulan

23 Nov 2026 • 12:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

118 unit hartanah industri Mah Sing, KLK Land di Kulai Johor habis ditempah dalam tempoh sebulan Image from: 118 unit hartanah industri Mah Sing, KLK Land di Kulai Johor habis ditempah dalam tempoh sebulan liza23/11/2026 - 12:56 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Nov – Mah Sing Group Bhd dan KLK Land Sdn Bhd merekodkan tempahan 100% bagi Fasa 1A dan 1B MS Industrial Park @ Kulai di Johor, membabitkan keseluruhan 118 unit industri yang habis ditempah dalam tempoh sebulan selepas galeri jualan dibuka pada 23 Oktober 2026.

 

Pencapaian itu melibatkan 71 unit dalam Fasa 1A dan 47 unit dalam Fasa 1B, mencerminkan sambutan terhadap pembangunan taman perindustrian bersepadu bernilai RM2.2 bilion itu yang terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

 

Menurut kenyataan bersama kedua-dua syarikat, Fasa 1A mencatatkan tempahan melebihi 90% sebelum mencapai tahap 100% pada hari pembukaan galeri jualan, manakala Fasa 1B turut merekodkan tempahan penuh sebelum acara pemilihan unit diadakan baru-baru ini.

 

Susulan sambutan tersebut, Mah Sing dan KLK Land kini membuka pendaftaran bagi Fasa 2 dengan pembangunan keseluruhan MS Industrial Park @ Kulai dirancang dalam lima fasa.

 

Tumpuan kepada sektor industri bernilai tinggi

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, pencapaian tempahan penuh bagi kedua-dua fasa dalam tempoh sebulan mencerminkan keyakinan pembeli terhadap produk, lokasi dan strategi pembangunan projek berkenaan.

 

Beliau berkata, Johor semakin menjadi destinasi strategik bagi perniagaan yang ingin menubuhkan atau mengembangkan operasi serantau, disokong pelaksanaan JS-SEZ, kedudukannya yang berhampiran Singapura serta kemasukan pelaburan dalam industri bernilai tinggi.

 

Menurutnya, perkembangan itu mencerminkan peluang pertumbuhan jangka panjang apabila syarikat semakin mengutamakan daya tahan rantaian bekalan, kesalinghubungan dan akses kepada ekosistem perindustrian yang tersedia.

 

MS Industrial Park @ Kulai dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas 419.17 ekar (169.62 hektar) dalam Zon E JS-SEZ, dengan menawarkan pelbagai produk termasuk kilang serta tanah industri berkeluasan antara satu hingga lapan ekar.

 

Kilang berkembar dua tingkat ditawarkan dengan keluasan tanah 70 kaki x 160 kaki dan keluasan binaan antara 6,710 hingga 7,920 kaki persegi, manakala kilang dua tingkat mempunyai keluasan tanah 90 kaki x 200 kaki dengan keluasan binaan antara 8,802 hingga 15,134 kaki persegi.

 

Pembangunan itu menyasarkan pelbagai sektor termasuk pembuatan termaju, elektrik dan elektronik, semikonduktor, aeroangkasa, makanan dan minuman, logistik serta pergudangan.

 

Sedia memenuhi keperluan pusat data

Selain pembangunan kilang, taman perindustrian itu turut menyediakan lot tanah bersaiz besar bagi memenuhi keperluan operator pusat data, syarikat berskala besar dan pelabur infrastruktur digital yang memerlukan tapak untuk pembangunan berskala besar.

 

Mah Sing berkata, perancangan tersebut melengkapi saluran pembangunan infrastruktur digital kumpulan yang turut merangkumi Mah Sing DC Hub @ Southville City di Bangi, Selangor dan Meridin East di Pasir Gudang, Johor. Kumpulan itu juga sedang meneroka penyediaan infrastruktur asas termasuk penyelesaian tenaga bagi menyokong pembangunan pusat data pada masa hadapan.

 

Dari segi kesalinghubungan, projek itu terletak kira-kira 15.8 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, 10 kilometer dari Lebuhraya Utara-Selatan serta dalam lingkungan 50 kilometer dari Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Johor. 

 

Mah Sing memegang 60% kepentingan dalam usaha sama pembangunan itu, manakala KLK Land, anak syarikat milik penuh Kuala Lumpur Kepong Bhd, memiliki baki 40%. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved