Fazura Tak Langgar Hak Jagaan Anak - Peguam

LocalFamily & Parenting
3 Apr 2026 • 4:01 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Dakwaan bahawa pelakon Fattah Amin mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas isterinya, Nur Fazura, mencetuskan perhatian di media sosial Threads.

Perkara itu timbul selepas seorang pengguna dikenali sebagai Musang Berjanggut memuat naik jadual prosiding sebutan kes Mahkamah Tinggi Syariah Selangor bertarikh 31 Mac lalu yang memaparkan nama kedua-dua pelakon itu.

Berdasarkan jadual tersebut, Abdul Fattah Mohd. Amin disenaraikan sebagai plaintif, manakala Nur Fazura Sharifuddin sebagai pihak responden.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Fazura, Fakhrul Azman Abu Hassan, ketika dihubungi mengesahkan bahawa pihaknya mendapati Fattah telah memfailkan permohonan kebenaran tunjuk sebab secara ex parte menerusi prosiding komital terhadap anak guamnya.

Menurut beliau, permohonan itu berkait dakwaan pelanggaran perintah mahkamah berhubung hak lawatan, yang sekiranya sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara.

“Permohonan tersebut difailkan pada awal Februari lalu. Bagaimanapun, pada 31 Mac 2026, hakim telah menolak permohonan berkenaan.

“Ini bermakna mahkamah tidak melihat keperluan untuk memulakan tindakan tunjuk sebab terhadap Fazura, berkemungkinan kerana pelaksanaan hak lawatan berjalan dengan baik,” katanya.

Beliau turut memaklumkan hanya Fattah hadir semasa prosiding memandangkan permohonan dibuat secara ex parte atau sebelah pihak.

“Untuk memulakan tindakan, kebenaran mahkamah perlu diperoleh terlebih dahulu. 

"Namun, peringkat mendapatkan kebenaran itu sendiri tidak diluluskan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, sebarang isu berkaitan hak lawatan boleh diselesaikan secara rundingan tanpa perlu dibawa ke mahkamah.

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat beberapa keadaan di mana anak pasangan itu tidak dapat menghadiri lawatan atas faktor keletihan atau komitmen lain, namun hubungan masih berjalan baik.

“Pada tahun ini, anak mereka berpeluang menyambut Aidilfitri bersama bapanya,” katanya.

Untuk rekod, Fattah dan Fazura sah bercerai talak satu pada 7 Oktober 2024 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga. 

Hak penjagaan penuh anak tunggal mereka diberikan kepada Fazura, manakala Fattah diberikan hak lawatan termasuk bermalam sebanyak dua kali sebulan serta pertemuan berkala setiap minggu. - Getaran, 3 April 2026