
Kota Kinabalu: Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) menggesa kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan hak Sabah untuk mengimport dan mengeksport beras.
Menggesa demikian, Presidennya, Tan Sri T.C Goh berkata, ini perlu untuk memastikan bekalan beras mencukupi bagi Sabah, selain menstabilkan harganya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang baru dilantik dan bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Datuk Armizan Mohd Ali, untuk memasukkan gesaan tersebut dalam memorandum Perjanjian Malaysia 1963 yang melibatkan Sabah dan Sarawak, yang sedang disediakan, dan diserahkan kepada kerajaan Persekutuan, apabila siap kelak. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, Goh yang juga Penasihat dalam Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) menegaskan, bekalan beras di Sabah tidak seharusnya dimonopoli oleh mana-mana syarikat swasta; kerajaan negeri seharusnya mempunyai hak dan kuasa penuh terhadap import dan eksport beras.
Beliau dengan itu menyatakan sokongan penuhnya kepada Japiril Suhaimin, Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), untuk menggesa pemulihan hak Sabah untuk mengimport dan mengeksport beras, yang pernah dimiliki negeri ini pada 1982.
Goh turut menyeru kerajaan negeri agar serius mempertimbangkan untuk menghidupkan semula Lembaga Padi Sabah yang ditutup pada 1981, bagi memudahkan pengeluaran dan bekalan beras di negeri ini, sebaik sahaja hak mengimport dan mengeksport beras dipulihkan.
Tambahnya, pemulihan Lembaga ini, yang ditubuhkan pada 1965 tetapi ditutup pada 1981, akan memberi nafas baharu kepada pesawah di negeri ini, dan meningkatkan pengeluaran padi dalam jangka masa panjang.
Goh yang juga Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) mengulangi bahawa, kerajaan Persekutuan perlu mengkaji semula dasar sedia ada secara serius, bagi memastikan barangan keperluan pengguna seperti beras, yang merupakan makanan ruji rakyat Malaysia, tidak dimonopoli oleh mana-mana syarikat swasta atau individu.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan harus berusaha untuk memastikan pasaran terbuka dan berdaya saing, untuk memberi manfaat kepada rakyat.
“Dasar sedemikian amat penting dan relevan apabila negara sedang bergelut dengan inflasi yang tinggi. Dasar terbuka pastinya membantu ke arah menstabilkan harga barang, dan memperlahankan inflasi,” katanya.
Beliau selanjutnya berkata, ketika ini kadar pengeluaran beras Sabah adalah jauh di bawah sasaran, dengan nisbah sara diri sebanyak 23 peratus sahaja, jauh lebih rendah daripada nisbah sara diri negara sebanyak 63 peratus. Oleh itu, Sabah terpaksa bergantung kepada import beras dari Semenanjung Malaysia dan luar negara untuk memenuhi permintaannya.
Justeru, beliau berharap kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri dapat bekerjasama rapat untuk meningkatkan pengeluaran beras untuk Sabah, selepas ini.
“Sabah harus memanfaatkan sepenuhnya tanah suburnya yang luas namun kini terbiar, dengan menggalakkan individu serta syarikat yang berminat dan berkemampuan untuk tampil membantu kerajaan negeri dalam meningkatkan pengeluaran beras, keterjaminan makanan dan ekonomi negeri secara keseluruhan,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

