
GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) pada 8 November melancarkan Manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang mengandungi empat teras dan 13 tonggak utama untuk Sabah, termasuk terus menuntut hak Sabah daripada Persekutuan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, yang juga Pengerusi GRS, berkata gabungan itu akan meneruskan komitmen untuk melaksanakan agenda Sayangi Sabah seperti yang termaktub dalam Aku Janji GRS yang ditawarkan sebagai Manifesto Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16).
“Komitmen kami telah diterjemahkan dengan menyelaraskan agenda Sayangi Sabah dan Aku Janji GRS dalam dokumen rancangan pembangunan negeri yang dinamakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang diperkenalkan pada 29 Mac 2021, tepat enam bulan selepas kami menerima mandat rakyat,” katanya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu.
Empat teras perjuangan GRS ialah Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.
“Ia mengandungi 13 tonggak utama dan digubal dengan mengambil kira pandangan dan sentimen rakyat dalam perkara yang dianggap penting,” katanya.
Sorotan manifesto: Memperkasakan ekonomi Negeri dan rakyat Sabah melalui tiga sektor utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan – antaranya GRS akan menarik lebih ramai pelabur untuk membangunkan sektor pertanian (huluan), mengukuhkan jaminan kejayaan kepada petani, nelayan dan penternak, menggalakkan pertanian moden, mewujudkan pusat pemasaran untuk sektor pertanian dan memberi insentif. Dalam sektor perindustrian, GRS akan menarik pelaburan untuk meningkatkan pengeluaran dan memacu pertumbuhan ekonomi, manakala dalam sektor pelancongan, ia akan memanfaatkan kekayaan flora dan fauna, menggalakkan penglibatan usahawan dalam agropelancongan, memperkenalkan produk pelancongan baharu dan pada masa sama, menarik lebih ramai pelancong dari luar ke Sabah. Memperkasakan pengurusan sumber tenaga untuk Kerajaan Sabah dengan mengambil semula pengurusan SESB. GRS juga akan meneroka lebih banyak sumber tenaga baharu atau tenaga boleh diperbaharui, terutamanya yang berasaskan teknologi hijau untuk memastikan bekalan tenaga yang mesra alam dan mencukupi. Meneruskan tuntutan hak Sabah daripada Persekutuan. GRS akan terus menuntut hak berdasarkan Perkara 112 (b), 112 (c) dan Jadual 10 Perlembagaan Persekutuan serta berdasarkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Memastikan Kerajaan Persekutuan menjalankan tanggungjawabnya dalam meningkatkan tahap keselamatan di Sabah khususnya di kawasan Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone), menambah baik kemudahan pendidikan dengan menaik taraf sekolah daif, serta menambah baik kemudahan kesihatan di seluruh Negeri. Pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat di mana GRS akan terus memperkasakan wanita dalam bidang keusahawanan, lebih ramai wanita sebagai penggubal dasar, memelihara kebajikan ibu tunggal dan balu, serta memberi bantuan berterusan kepada ibu tunggal, OKU dan warga emas. Menggalakkan penglibatan belia dalam arus perdana pembangunan negara dengan menyediakan peruntukan khas untuk belia dalam bidang keusahawanan dan meningkatkan bilangan penglibatan belia sekurang-kurangnya 30 peratus dalam penggubalan dasar. Memperkasa pentadbiran perkhidmatan awam Sabah termasuk menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan, menambah baik kemudahan perkhidmatan awam, mewujudkan tabung amanah pencen, ganjaran istimewa dan menyediakan kuota khas untuk anak muda Sabah menyertai perkhidmatan awam Persekutuan dalam Skim Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). Meningkatkan penglibatan dalam industri minyak dan gas. GRS akan memastikan penglibatan Sabah secara menyeluruh dan berterusan dalam industri, di mana Sabah menjadi rakan kongsi Petronas. Pada masa sama, GRS akan memastikan perkongsian pintar itu mampu menjana keuntungan. Memberi keutamaan kepada pelaksanaan infrastruktur kemudahan asas, dalam aspek menaik taraf jalan di seluruh Sabah dan membina serta menaik taraf loji air, manakala pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dipercepatkan. Menyediakan kemudahan rumah mampu milik termasuk mempercepatkan pelaksanaan program Rumah Mesra SMJ sebanyak 1,500 unit dan meneruskannya, menyediakan lebih banyak perumahan untuk rakyat. Menambah baik pengurusan tanah di mana GRS akan memastikan pengeluaran geran tanah untuk permohonan tanah rakyat disegerakan, menubuhkan Yayasan Tanah Anak Negeri untuk melindungi Hak Anak Negeri Sabah dan mempercepatkan pengeluaran geran rizab kampung. Kestabilan politik, perpaduan kaum, keadilan dan kesejahteraan rakyat. GRS akan mempergiatkan usaha untuk memupuk perpaduan antara masyarakat di Sabah merentasi agama, kaum dan budaya, memastikan kebebasan beragama berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dikekalkan, menuntut Kerajaan Persekutuan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri yang mempunyai kuasa besar untuk Wilayah Sabah dan memastikan bahawa peruntukan pembiayaan daripada Persekutuan disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri untuk mentadbir. Meneruskan usaha untuk menuntut kawasan Parlimen di Sabah ditambah. GRS akan meneruskan usaha untuk mendapatkan kembali 35 peratus kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak sehingga berjaya. Hadir sama timbalan pengerusi GRS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang merupakan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Seri Yong Teck Lee yang merupakan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) dan Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang merupakan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), pemimpin dan penyokong GRS serta calon.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

