
Kota Kinabalu: Semua peserta Program Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 hingga 4.0 berjaya mendapat pekerjaan selepas menamatkan program berkenaan, kata Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Beliau berkata kadar kebolehpasaran pekerjaan 100 peratus itu membuktikan manfaat program yang diperkenalkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada 2022 khususnya kepada golongan belia dan graduan baharu di Sabah.
“Daripada Felo SMJ 1.0 pada 2022-2023 hingga 2.0, 3.0 dan 4.0, semua yang menyertai program ini berjaya mendapat pekerjaan dengan kadar pekerjaan 100 peratus,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Surat Pelantikan Felo SMJ 5.0 di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini, Rabu.
Nizam berkata pencapaian itu dijangka diteruskan menerusi Felo SMJ 5.0 yang menyaksikan 36 anak Sabah menerima surat penempatan selepas dipilih daripada 200 pemohon.
Beliau berkata 80 calon disenarai pendek daripada 200 pemohon sebelum menjalani proses saringan, latihan dan simulasi sebelum 36 peserta dipilih.
Beliau berkata program itu merupakan antara tonggak utama Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memperkukuh modal insan, khususnya dalam kalangan golongan muda.
Menurutnya, Felo SMJ memberi manfaat khusus kepada graduan baharu dan mereka yang sedang menunggu majlis graduasi kerana ia memberikan pendedahan kepada persekitaran kerja sebenar.
“Kita berharap mereka yang terpilih dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada untuk memperbaiki diri khususnya dalam memahami selok-belok kerjaya masing-masing.
“Mereka bukan lagi pelajar universiti tetapi sudah memasuki alam pekerjaan sebenar,” katanya.
Nizam berkata peserta juga diharapkan bukan sahaja berjaya dalam kerjaya masing-masing tetapi turut membangunkan keupayaan dan kualiti kepimpinan yang diperlukan untuk meletakkan kepentingan negeri, rakyat dan pembangunan Sabah sebagai keutamaan.
Beliau yakin dengan bimbingan dan nasihat yang diberikan, peserta akhirnya mampu menjadi pemimpin yang boleh diharap untuk meneruskan pencapaian Sabah pada masa hadapan.
Nizam turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri atas visi dan inisiatif memperkenalkan Program Felo SMJ yang menurutnya terus menyediakan peluang kepada anak muda Sabah untuk membina masa depan mereka.



