
PETALING JAYA – Lebih 1,500 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Mara Career Crafting 2026 Southern Chapter yang berlangsung selama dua hari di TVETMara Johor Bahru bermula esok.
Program anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperluas akses kepada peluang pekerjaan berkualiti, khususnya dalam bidang profesional dan berkemahiran tinggi.
Penganjuran program ini turut bersempena sambutan ulang tahun ke-60 Mara dan disempurnakan menerusi sesi tinjauan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Mara, Zahari Aziz.
Menerusi satu kenyataan, Mara berkata, pihaknya menyasarkan seramai 5,000 pengunjung menghadiri program berkenaan yang terdiri daripada graduan Institusi Pendidikan Mara (IPMA), institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), lepasan SPM serta orang awam yang sedang mencari peluang kerjaya.
“Peluang pekerjaan yang ditawarkan menyasarkan pemegang Sijil dan ke atas, diploma serta ijazah sarjana muda bagi memenuhi keperluan tenaga kerja profesional dan berkemahiran tinggi.
“Sebanyak 30 syarikat tempatan dan antarabangsa mengambil bahagian dalam program ini dengan menawarkan jawatan dalam pelbagai sektor strategik termasuk teknologi tinggi dan bernilai tinggi (HGHV), logistik, teknologi maklumat, pusat data, kewangan, pembuatan, elektronik serta kejuruteraan.
“Antara syarikat yang terlibat ialah Super Micro Computer Malaysia Sdn. Bhd., Epson Precision (Johor) Sdn. Bhd., Rohde & Schwarz Technologies Sdn. Bhd., Celestica Electronics (M) Sdn. Bhd., V.S. Industry Berhad dan Wiwynn Technology Services Malaysia Sdn. Bhd,”kata kenyataan itu.
Menurut Mara, program itu turut mendapat kerjasama strategik daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Selain peluang pekerjaan, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti pembangunan kerjaya termasuk ceramah kerjaya dan industri, bengkel penulisan resume, serta sesi perkongsian inspirasi bersama alumni yang berjaya dalam bidang masing-masing.
Peserta juga boleh berinteraksi secara langsung dengan majikan melalui sesi temu duga terbuka, pengambilan segera dan zon tawaran kerja pada hari yang sama, sekali gus meningkatkan peluang memperoleh pekerjaan dengan lebih pantas.
Bagi memeriahkan program, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan termasuk pameran inovasi, pertunjukan pertempuran robot, lawatan ke bengkel TVETMara dan jualan trak makanan, yang menawarkan pengalaman lebih interaktif kepada pengunjung.
Tambah Mara, penganjuran program ini diharap dapat membantu graduan dan pencari kerja merancang laluan kerjaya dengan lebih jelas, meningkatkan keyakinan diri serta mempercepatkan penyertaan tenaga kerja mahir tempatan dalam memenuhi keperluan industri negara.
“Program ini diharap dapat memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan, pencari kerja dan pihak industri, selain menyumbang kepada pembangunan bakat tempatan yang memenuhi keperluan ekonomi negara,” menurut kenyataan Mara.-KOSMO! ONLINE
The post Mara perkasa kebolehpasaran graduan melalui 1,500 peluang pekerjaan appeared first on Kosmo Online.






