
Malaysia kini berhadapan dengan realiti ekonomi yang semakin mencabar. Kenaikan harga barang keperluan harian merupakan petunjuk jelas bahawa inflasi semakin menghimpit kehidupan rakyat.
Walaupun kadar inflasi rasmi dilaporkan pada paras 1.9 peratus, realiti yang dirasai oleh pengguna jauh lebih membebankan. Kuasa beli semakin terhakis dan nilai sebenar wang kian menyusut dalam perbelanjaan harian.
Namun, dalam kesibukan masyarakat membincangkan harga yang naik, tersembunyi satu lagi fenomena ekonomi yang berlaku secara senyap, namun memberi kesan besar terhadap kuasa beli pengguna. Fenomena ini dikenali di peringkat antarabangsa sebagai shrinkflation dan saya mencadangkan penggunaan istilah ‘kecilasi’ sebagai pendekatan tempatan untuk memperkenalkan konsep ini dalam wacana masyarakat.
Kecilasi merujuk kepada amalan pengeluar yang mengurangkan saiz, berat atau kuantiti produk tanpa menurunkan harganya. Malah dalam sesetengah kes, harga produk turut meningkat. Akibatnya, pengguna tanpa sedar membayar lebih untuk mendapatkan kurang, sekali gus menghakis nilai sebenar wang mereka. Jika inflasi adalah kenaikan harga secara terbuka, kecilasi pula merupakan penyusutan nilai secara senyap yang tidak tercermin dalam statistik rasmi tetapi dirasai oleh hampir setiap isi rumah.
Fenomena kecilasi ini semakin meluas dan berlaku serentak dengan inflasi, menjadikan beban kewangan rakyat semakin berat dalam kehidupan harian mereka.
Sebagai contoh, pek snek yang dahulu mengandungi 100 gram (g) kini hanya 85g. Botol minuman yang dahulunya 500 mililiter (ml) dikurangkan menjadi 450ml. Pek ekonomi minyak masak yang biasanya seberat 1 kilogram, kini menjadi 900g. Pengurangan ini tidak selalu diumumkan secara terbuka. Reka bentuk pembungkusan kekal sama, justeru pengguna jarang menyedari perubahan tersebut sehinggalah mereka membandingkan secara teliti.
Berbeza dengan inflasi yang berlaku secara terang apabila harga barang dan perkhidmatan meningkat secara menyeluruh, kecilasi berlaku dengan lebih halus. Ia tidak dicatat dalam Indeks Harga Pengguna kerana secara teknikal harga produk tidak berubah. Bagaimanapun, kesannya terhadap pengguna adalah sama atau lebih buruk. Dalam jangka panjang, pengguna membelanjakan lebih banyak wang untuk kuantiti yang lebih sedikit, menjadikan nilai sebenar wang mereka semakin mengecil.
Fenomena kecilasi semakin berleluasa di Malaysia, selari dengan trend global. Pengeluar menggunakan strategi ini sebagai langkah untuk mengekalkan keuntungan apabila berdepan dengan peningkatan kos bahan mentah, logistik dan tenaga kerja. Dalam situasi ekonomi yang mencabar, kecilasi dianggap sebagai pilihan yang lebih ‘selamat’ kerana ia kurang mencetuskan reaksi berbanding kenaikan harga secara langsung.

Namun dari sudut pengguna, kecilasi boleh dianggap sebagai sesuatu yang mengelirukan. Rakyat yang sudah pun berdepan dengan inflasi, kini terpaksa menanggung beban tambahan yang tidak kelihatan. Mereka mungkin merasakan harga masih terkawal, sedangkan mereka sebenarnya sedang mengalami penyusutan nilai secara perlahan. Dalam kes tertentu, pengguna juga berdepan dengan penurunan kualiti produk yang tidak diumumkan secara rasmi.
Kesan kecilasi sangat ketara dalam kalangan golongan B40 dan M40. Golongan ini membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk barangan asas seperti makanan, sabun, susu, minyak masak, beras dan telur.
Apabila produk-produk ini mengalami kecilasi, mereka terpaksa membuat pelarasan drastik terhadap corak perbelanjaan harian. Ada yang mula membeli produk dalam kuantiti kecil, beralih kepada jenama lebih murah yang kurang berkualiti atau memotong perbelanjaan untuk keperluan lain seperti pendidikan dan kesihatan.
Lebih membimbangkan, statistik rasmi kadangkala gagal menggambarkan beban sebenar yang dirasai rakyat. Kadar inflasi yang dilaporkan mungkin sekitar satu hingga dua peratus, tetapi pengguna di lapangan merasakan harga barangan meningkat jauh lebih tinggi daripada angka tersebut.
Ini kerana kecilasi tidak dimasukkan ke dalam pengiraan rasmi. Bahkan, tidak semua barangan dalam bakul indeks mencerminkan barangan harian yang paling banyak digunakan oleh golongan berpendapatan rendah.
Justeru, wujud keperluan untuk melihat semula kaedah pengukuran kos sara hidup rakyat. Sudah tiba masanya untuk kerajaan mempertimbangkan pembentukan satu indeks baharu yang lebih dekat dengan realiti pengguna seperti Indeks Kos Sara Hidup Rakyat. Indeks ini perlu mengambil kira elemen kecilasi, perubahan kualiti dan corak pembelian sebenar masyarakat. Ini penting agar dasar yang dirangka benar-benar selari dengan tekanan ekonomi yang dialami oleh rakyat.
Di samping itu, kesedaran pengguna juga perlu dipertingkat. Rakyat harus dididik untuk membaca label dengan lebih teliti, membandingkan harga mengikut gram atau liter, bukan sekadar harga per unit. Pengguna yang peka mampu membuat pilihan yang lebih bijak dan tidak mudah terperangkap dengan ilusi harga.
Pihak berkuasa seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup juga perlu memantau secara lebih aktif strategi kecilasi yang digunakan oleh pengeluar. Sekiranya perubahan saiz dan kuantiti tidak disertakan maklumat jelas, ia boleh dianggap sebagai tidak beretika. Garis panduan khusus harus diwujudkan bagi memastikan ketelusan dalam amalan pembungkusan dan penandaan produk.
Pengeluar pula perlu lebih bertanggungjawab. Dalam jangka masa panjang, kepercayaan pengguna adalah aset penting kepada sesebuah jenama. Jika pengguna merasakan mereka diperdaya, kesetiaan terhadap jenama tersebut boleh terhakis. Strategi perniagaan yang mengutamakan kejujuran dan ketelusan akan lebih dihargai oleh pasaran dalam jangka panjang.
Akhir sekali, institusi akademik dan penyelidik boleh memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan dan masyarakat memahami impak kecilasi secara menyeluruh. Kajian mengenai corak pembelian rakyat, kesan ekonomi mikro dan pendekatan dasar yang sesuai amat diperlukan dalam suasana ekonomi semasa.
Kesimpulannya, kecilasi adalah fenomena yang nyata dan semakin meresap dalam kehidupan harian rakyat Malaysia. Ia menuntut tindakan segera bukan sahaja daripada pihak kerajaan dan industri, tetapi juga kesedaran tinggi daripada pengguna sendiri. Jika tidak ditangani, kecilasi akan terus menghakis kuasa beli rakyat dalam diam dan cetus ketidaksamarataan ekonomi yang lebih dalam.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis
The post Fenomena berleluasa, ‘kecilasi’ cabaran tersembunyi dalam poket rakyat appeared first on Kosmo Digital.


