Fenomena El-Nino boleh lonjak harga sawit lebih RM4,000 satu tan - MPOB
zulfadli
25/05/2023 - 17:19
KUALA LUMPUR 25 Mei - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengunjurkan harga minyak sawit mentah (MSM) untuk didagangkan di antara RM3,800 hingga RM4,000 satu tan pada separuh kedua tahun ini.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, harga komoditi itu juga dijangka mampu meningkat lebih tinggi daripada julat harga itu tahun depan akibat kesan daripada fenomena El-Nino yang sedang melanda negara ketika ini.
Katanya, fenomena El-Nino kebiasaannya akan menjejaskan pengeluaran sawit salah satunya apabila sejenis kumbang yang bertanggungjawab melakukan proses pendebungaan bagi menghasilkan benih, tidak berasa selesa dengan cuaca panas sekali gus menyebabkan aktiviti pengeluaran merosot.
"Begitu juga pokok sawit ini sendiri akan bertindak balas dengan cuaca panas ini dengan mengeluarkan lebih banyak bunga jantan berbanding bunga betina sekali gus menyebabkan kadar pengeluaran menurun.
"Namun, penurunan ini tidak berlaku serta merta, sebaliknya akan mengambil masa antara 15 hingga 18 bulan sebelum kesannya dapat dirasai. Maka penurunan pengeluaran ini dijangkakan akan berlaku pada tahun depan dan bukannya tahun ini.
"Jika El-Nino ini berlarutan lama, maka pengurangan pengeluaran sawit boleh mencecah sehingga 20% seperti tahun 2016 lalu, namun kita harapkan ia tidak seteruk itu dan berharap hanya menurun sekitar 5% pada tahun depan," katanya.
Beliau berkata demikan ketika ditemui selepas majlis penghargaan media bersama MPOB di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi MPOB, Mohamad Helmy Othman Basha.
Sementara itu, Mohamad Helmy dalam ucapannya mengumumkan mengenai kelulusan perakuan baharu bagi pelabelan makanan yang bebas daripada kandungan asid lemak trans (TFA) dalam makanan dan minyak boleh makan serta makanan lain di bawah peruntukan Peraturan 18C, Peraturan-Peraturan Makanan 1983, lapor Berita Harian.
Beliau berkata MPOB telah menerima kelulusan perakuan berkenaan Kementerian Kesihatan (KKM) pada 17 Oktober 2022.
Katanya, bagi memastikan industri sawit Malaysia terus berkembang maju dan berdaya saing, semua pihak dalam rantaian pengeluaran minyak sawit perlu komited bagi meningkatkan kualiti pengeluaran minyak sawit negara, termasuk menghapuskan kandungan asid lemak trans (TFA) dalam produk makanan, antaranya menggunakan minyak sawit sebagai sumber lemak dan minyak dalam produk.
"Kelulusan KKM ini adalah selaras dengan seruan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) supaya semua negara menghapuskan kandungan asid lemak trans daripada produk makanan, demi meningkatkan kualiti kehidupan, khususnya dalam aspek kesihatan secara global dalam usaha memerangi penyakit berkaitan jantung atau lebih dikenali sebagai penyakit kardiovaskular.
"Inilah komitmen kita, bergerak dengan tekad dan melangkah mengiringi seruan global ini dalam usaha menangani penyakit kardiovaskular di Malaysia.
"Strategi pelaksanaan ini diharap dapat membantu menangani kadar penghasilan asid lemak trans oleh industri makanan Malaysia dengan menetapkan had kandungan asid lemak dalam minyak dan lemak makan tidak melebihi daripada 0.5 gram per 100 mililiter cecair atau 100 gram pepejal, sambil tidak melebihi 0.1 gram per 100 mililiter cecair atau 100 gram pepejal dalam kandungan makanan lain," katanya. - DagangNews.com

