
BEAUFORT: Festival Bagandang Beaufort 2026 berpotensi merancakkan ekonomi masyarakat setempat menerusi pembangunan produk pelancongan berasaskan budaya.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Isnin Aliasnih berkata festival berkenaan bukan sahaja berperanan memelihara warisan budaya masyarakat pelbagai etnik malah mampu membuka peluang menjana pendapatan kepada penduduk daerah berkenaan.
“Festival Bagandang mempunyai pelbagai peluang dan sumber bagi menjana pendapatan serta ekonomi penduduk setempat.
“Melihat kepada kesan positif penganjurannya, Jawatankuasa Induk yang diketuai Pegawai Daerah telah mengambil inisiatif mengangkat semula festival ini sebagai salah satu produk pelancongan negeri.
“Usaha ini juga bertujuan mengembalikan Festival Bagandang dalam kalendar pelancongan sebagai antara destinasi yang perlu dilawati pelancong dari dalam dan luar negara.
“Saya yakin dan percaya, berkat kerjasama erat semua pihak, Festival Bagandang akan kembali menjadi penggerak ekonomi dan budaya bagi Daerah Beaufort,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Majlis Perasmian Festival Bagandang Beaufort 2026 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman di Dataran Bagandang pada Sabtu.
Menurut Isnin, melalui penganjuran Festival Bagandang sebelum ini membuktikan, potensi pelancongan berasaskan budaya menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa, sekali gus memperkenalkan warisan masyarakat Beaufort.
“Di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0, Kerajaan Negeri turut menekankan kepentingan sektor pelancongan sebagai antara penggerak utama pertumbuhan ekonomi negeri.
“Sehubungan itu saya berharap masyarakat daerah ini terus menyokong usaha Kerajaan Negeri memperkasa pembangunan ekonomi melalui sektor pelancongan, khususnya menjelang Tahun Melawat Sabah 2027,” jelasnya.
Beliau turut berharap penganjuran festival bertemakan ‘Bagandang: Menyatukan Budaya, Memacu Ekonomi’ itu mendapat sokongan berterusan masyarakat pelbagai etnik supaya kekal menjadi identiti dan produk pelancongan utama daerah berkenaan.
Pada majlis itu Tun Musa turut menyampaikan Anugerah Tokoh Bagandang 2026 kepada Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah yang juga mantan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Azizah Mohd Dun.
Beliau sebelum ini memainkan peranan dalam mengangkat Festival Bagandang sebagai produk pelancongan utama Beaufort sejak mula diperkenalkan sekitar 2009.




