
KANDUNGAN media sosial dilihat berpotensi sebagai medium memperkenalkan Malaysia kepada khalayak antarabangsa.
Potensi itu juga didorong oleh penglibatan pempengaruh dari pelbagai negara yang menghasilkan kandungan berkaitan pelancongan, makanan, budaya dan pengalaman meneroka destinasi tempatan.
Konsep ini turut dilaksanakan dalam All Star Influencers Award (ASIA) 2026 yang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Program tersebut juga dilaporkan mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih kumulatif 3.8 bilion tontonan digital sejak diperkenalkan pada 2023.
Menurut Pengasas ASIA, Datuk Abd Rahman Soltan, penganjuran tahun ini menghimpunkan 110 pempengaruh dari 20 negara yang diberi peluang menerokai beberapa destinasi di Malaysia sebelum berkongsi pengalaman mereka melalui platform media sosial masing-masing.
“Kandungan yang dihasilkan bukan sahaja memperkenalkan keindahan destinasi pelancongan, malah mengetengahkan keunikan budaya dan makanan tempatan kepada pengikut mereka di seluruh dunia.
“Pencapaian 3.8 bilion tontonan ini membuktikan bahawa kandungan digital mempunyai pengaruh besar dalam memperkenalkan Malaysia kepada dunia, khususnya menerusi keunikan budaya, makanan dan destinasi pelancongan kita,” katanya ketika ditemui CitaRasa baru-baru ini.

Beliau berkata, penganjuran secara tidak langsung menyokong usaha mempromosikan Malaysia menerusi kempen Visit Malaysia 2026-2027.
ASIA 2026 turut mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Tourism Malaysia dalam memperluas capaian promosi pelancongan negara menerusi perspektif pempengaruh antarabangsa.
Sepanjang program, peserta dibawa menjelajah beberapa negeri termasuk Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Langkawi dan Sabah. Pengalaman tersebut diterjemahkan dalam bentuk video serta kandungan kreatif yang dapat diakses pengguna digital merentasi sempadan negara.
Pada malam kemuncak, pempengaruh dari Indonesia, Dinda Anwar dinobatkan sebagai penerima Best Influencer Award sekali gus membawa pulang trofi dan wang tunai RM40,500. Dinda turut memenangi kategori Best Culture Curator dengan hadiah wang tunai RM4,000.
Tempat kedua dimenangi Zulqarnain dari Pakistan yang menerima RM20,000, manakala Duc Koi dari Vietnam tempat ketiga dengan RM12,000. Hadiah disampaikan Abd Rahman bersama Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd. Amirul Rizal Abdul Rahim.
Sebanyak 13 kategori dipertandingkan pada edisi kali ini bagi mengiktiraf kreativiti, mutu penceritaan dan keupayaan peserta mengetengah perspektif budaya melalui kandungan digital.
The post Influencer Indonesia juara promosi Malaysia appeared first on Kosmo Online.



