Festival Good Vibes Dibatalkan Serta-Merta – Fahmi

22 Jul 2023 • 2:30 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Festival Good Vibes Dibatalkan Serta-Merta – Fahmi

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) — Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil hari ini mengarahkan supaya penganjuran Festival Good Vibes 2023 yang masih berbaki sehingga esok dibatalkan serta-merta.

Menerusi catatan di Facebook hari ini, beliau berkata pendirian Kerajaan Perpaduan adalah jelas dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak.

“Saya faham keputusan ini akan memberi implikasi kepada penonton yang telah membeli tiket. Sehubungan itu, saya juga telah menggesa penganjur untuk mengenal pasti mekanisme ganti rugi kepada pembeli-pembeli tiket.

“Kerajaan sentiasa komited menyokong pembangunan industri kreatif dan kebebasan bersuara. Walau bagaimanapun, jangan sesekali menyentuh sensitiviti masyarakat khususnya yang bertentangan dengan adab dan nilai budaya tempatan,” katanya.

Hari ini Fahmi telah memanggil penganjur festival itu iaitu Future Sound Asia bagi memberi penjelasan susulan aksi dan kenyataan yang dipamerkan oleh artis dari United Kingdom “The 1975” di Sepang, malam tadi.

Media melaporkan persembahan The 1975 di Good Vibes Festival 2023 dihentikan selepas beberapa tindakan dan aksi tertentu dibuat oleh vokalisnya, Matty Healy di hadapan peminat.

Sumber: BERNAMA