
SHAH ALAM, 3 MEI: Festival Makanan Mega Selangor 2025 yang berlangsung hingga esok di Dataran Kemerdekaan di sini menjadi tumpuan ramai.
Pelbagai pilihan makanan dan aktiviti disediakan kepada pengunjung termasuk lebih 100 gerai.
Pengunjung Nor Aryssa Daniella, 23, berkata dia mengunjungi program itu bagi membeli manisan Suka Dessert yang tular selain mahu melihat jualan lain.
“Saya tahu mengenai festival ini menerusi TikTok dan hari ini (semalam) saya beli kek dan manisan kira-kira RM130.

“Tak kisah belanja lebih sebab sedap. Seronok bila dapat tahu ada festival makanan sebab di sini boleh dapat pelbagai jenis makanan, minuman,” katanya kepada Media Selangor.
Nur Nabila Muhammad Shahizan, 24, berkata lokasi festival makanan kali ini strategik berbanding di Stadium Shah Alam sebelum ini.
“Jika dianjurkan lebih kerap lagi bagus terutama hujung minggu. Sesuai untuk seisi keluarga santai sebab tempatnya pun tenang dan strategik,” katanya.

Kakitangan swasta Mohd Azlan Jandrani, 36, berkata pelbagai pilihan makanan dan minuman ditemui di festival berkenaan.
“Menarik, sebab ada banyak pilihan makanan dan minuman. Tidak tahu pun ada festival di sini cuma kebetulan lalu kami singgah.
“Cumanya parkir agak terhad jadi kami terpaksa berjalan agak jauh. Mungkin kalau boleh selepas ini sediakan parkir khas untuk pengunjung,” katanya.

Kerajaan Negeri menyasarkan kehadiran 30,000 pengunjung ke Festival Makanan Mega Selangor 2025 yang berlangsung empat hari di Dataran Kemerdekaan.
Menurut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari festival yang menyediakan lebih 100 gerai makanan dari seluruh Selangor itu antara inisiatif negeri merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).



The post Festival Makanan Mega Selangor meriah dengan lebih 100 gerai, pelbagai aktiviti appeared first on Selangorkini.

