
Oleh Dewi Abdul Rahman
SABAK BERNAM, 27 APRIL: Kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) terus diperhebat dengan penganjuran Festival Makanan Mega Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam bulan depan.
EXCO Pelancongan berkata festival yang dijadual berlangsung empat hari mulai 1 Mei menawarkan pelbagai aktiviti menarik antaranya termasuk demonstrasi makanan dan persembahan malam kebudayaan.

“Selangor pernah anjurkan pada 2016 namun dihentikan dan sekarang kita akan adakan semula untuk orang ramai nikmati kepelbagaian makanan Selangor.
“Kita jangka dapat menarik seramai mungkin kerana di Selangor terdapat pelbagai hidangan gastronomi yang sangat enak dari pelbagai kaum, akan turut kita ketengahkan,” kata Dato’ Ng Suee Lim.
Ditemui pada majlis perasmian Festival Sawah Padi Sekinchan 2025 di sini semalam, beliau berkata TMS2025 akan disemarakkan lagi dengan penganjuran Festival Kampung Baru Ogos ini bertujuan menonjolkan identiti Kampung Baru di seluruh Selangor.

“Kita sedang buat persiapan dan menyasarkan dua lokasi untuk acara berkenaan. Ia juga akan menjadi satu festival mega yang akan mengetengahkan produk tempatan dengan menyelitkan elemen kebudayaan dan warisan negeri ini,” katanya.
Tambah beliau, program-program ini bertujuan mempromosi Selangor sebagai destinasi pelancongan pilihan serta memberikan pengalaman unik kepada pengunjung.

Kerajaan Negeri menyasarkan kehadiran lapan juta pengunjung ke Selangor tahun ini dengan catatan transaksi RM11.7 bilion sempena TMS2025.
TMS2025 disasar menawarkan lebih 60 program dan acara dengan promosinya memberi penekanan khusus kepada beberapa segmen termasuk ekopelancongan, agro, seni dan budaya.


The post Semarak kempen TMS2025, Selangor anjur festival makanan mega 1 Mei appeared first on Selangorkini.

