Festival Mega i Lindung u sasar 60,000 pengunjung

14 Sep 2026 • 2:23 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Festival Mega i Lindung u sasar 60,000 pengunjung

PETALING JAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menganjurkan Festival Mega i Lindung u yang akan berlangsung di Strand Mall, Kota Damansara selama tiga hari bermula 18 hingga 20 September ini, dengan sasaran kira-kira 60,000 pengunjung.

Perkeso dalam kenyataannya memaklumkan, festival tersebut kembali menemui orang ramai menerusi pengisian lebih segar dan inklusif dengan mengetengahkan aspirasi Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) Bersama Rakyat, sekali gus membawa perkhidmatan perlindungan sosial lebih dekat kepada segenap lapisan masyarakat.

Majlis perasmian festival ini akan disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan yang turut dijadualkan melancarkan maskot baharu Perkeso.

“Ia dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam dan penganjurannya menjadi platform penting untuk masyarakat mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan akses secara langsung kepada pelbagai inisiatif perlindungan sosial dalam suasana santai serta mesra keluarga.

“Festival ini menawarkan pelbagai program interaktif, khidmat perlindungan sosial, aktiviti kekeluargaan serta persembahan artis tempatan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut Perkeso, antara pengisian utama kali ini ialah program Kesuma Bersama Rakyat, yang mencerminkan komitmen kementerian untuk turun padang, mendekati masyarakat serta mendengar sendiri pandangan dan keperluan rakyat.

“Keistimewaan penganjuran kali ini lebih terserlah menerusi penyertaan 11 agensi lain di bawah Kesuma, termasuk Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia.

“Penglibatan secara bersepadu ini membolehkan masyarakat mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan akses terus kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan di bawah satu bumbung.

“Antaranya adalah HRD Corp (Human Resource Development Corporation), TalentCorp (Talent Corporation Malaysia Berhad), NIOSH (Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara) dan PTPK (Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran),” katanya.

Penyertaan agensi-agensi berkenaan memperkukuh Festival Mega i Lindung u sebagai sebuah platform perkhidmatan rakyat yang lebih menyeluruh dan inklusif. – KOSMO! ONLINE

The post Festival Mega i Lindung u sasar 60,000 pengunjung appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved