
SANDAKAN: Kira-kira 3,000 pengunjung menghadiri Sepilok Jazz 2026 di Rainforest Discovery Centre (RDC) sepanjang dua malam bermula Jumaat lalu mencerminkan perkembangan konsisten festival berkenaan sejak diperkenalkan pada 2022.
Festival jazz bertaraf antarabangsa itu menampilkan tiga pentas, 18 kumpulan muzik dan lebih 100 pemuzik sepanjang program dua malam.
Antara artis yang membuat persembahan ialah penyanyi popular Shila Amzah, King of Swing dari Singapura, Jeremy Monteiro, kumpulan dari Itali Mezzotono, kumpulan Indonesia Class Act 80s, Janet Lee dan Tay Cher Siang dari Semenanjung selain pemuzik Sabah Roger Wang dan Yap Ling.
Bagi Lysa Karen, 45, yang menghadiri Sepilok Jazz sejak edisi pertama perkembangan festival itu amat menggalakkan.
Beliau berkata acara yang pada awalnya berskala kecil itu kini berkembang menjadi festival yang mampu menarik lebih ramai pengunjung ke Sandakan.
“Sekarang ia sudah berkembang menjadi sebuah festival dan semakin besar. Saya percaya lebih ramai pengunjung akan tertarik khususnya dengan kehadiran artis seperti Shila Amzah dan persembahan lain yang mampu menarik orang datang ke sini,” katanya.
Menurutnya jumlah kehadiran yang memberangsangkan itu memberi petanda positif kepada Sandakan, malah pengunjung tidak menghiraukan hujan sepanjang festival berlangsung.
Katanya Sandakan jarang menganjurkan acara berskala besar yang mampu menghimpunkan begitu ramai pengunjung.
Sementara itu pasangan pelancong dari Belanda, Elise dan Max, berkata mereka mengetahui mengenai Sepilok Jazz selepas melihat poster promosi acara berkenaan ketika berada di Sandakan.
Max menyifatkan festival itu sebagai sangat dinamik manakala Elise berkata suasananya amat menyenangkan.
“Kami tinggal tiga malam di Sandakan dan secara kebetulan datang ke sini selain dapat menikmati festival ini,” kata pasangan itu.
Bagi pelajar muzik kelahiran Sandakan Raynidah, 22, Sepilok Jazz tahun ini merupakan pengalaman pertamanya.
“Sebagai pelajar muzik, Sepilok Jazz memberikan banyak maklumat mengenai muzik jazz kepada saya. Saya juga gembira melihat begitu ramai peminat jazz dan pemuzik berkumpul di sini,” katanya.
Cetus idea ketika pandemikSementara itu Presiden Friends of Sea Turtles Education and Research (Foster) merangkap Pengerusi Penganjur Sepilok Jazz Alexander Yee, berkata idea menganjurkan festival itu tercetus kira-kira enam tahun lalu ketika beliau dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Sandakan bersama pengarah muzik Cheong Kok An ketika pandemik Covid-19.
“Kami terfikir ‘Apa yang boleh kami lakukan di Sandakan untuk menjadikan tempat ini lebih meriah?’” katanya.
Yee yang mempunyai pelaburan dalam sektor pelancongan di Kinabatangan dan Sepilok serta mengendalikan taman pemuliharaan penyu di Pulau Libaran berkata hubungan lama dengan Sandakan turut mendorong beliau merealisasikan inisiatif berkenaan.
Beliau berkata perkembangan Sepilok Jazz turut mendapat sokongan komuniti serta pelbagai institusi khususnya Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (Kepkas) dan Sabah Tourism Board (STB).
Yee berkata kira-kira setahun setengah lalu Setiausaha Tetap Kepkas Datuk Josie Lai mencabar pihak penganjur supaya membawa festival itu ke tahap lebih tinggi.
Cabaran itu mendorong pihak penganjur memperkukuh kepakaran dan jaringan sokongan festival berkenaan.
Usaha itu kemudiannya menyaksikan Monteiro menyertai Sepilok Jazz selepas Cheong menghubungi pemuzik jazz terkenal dari Singapura itu.
Pada Mei tahun lalu Monteiro menandatangani memorandum persefahaman (MoU) selama tiga tahun untuk berperanan sebagai penasihat teknikal dan mentor Sepilok Jazz.
Yee berkata penglibatan Monteiro turut didorong kecintaannya terhadap Sabah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Tourism Malaysia, pengusaha hotel tempatan serta penaja dan rakan strategik lain yang menyokong penganjuran festival itu.
Platform bakat muda SabahMenurut Yee Sepilok Jazz turut bekerjasama dengan Sabah Institute of Art (SIA) dan Trinity Art and Music Academy menerusi program Bakat Sepilok Jazz yang menyediakan platform kepada pemuzik muda untuk bertanding dan mengembangkan kemahiran mereka.
Beliau menampilkan bekas juara Bakat Sepilok Jazz, Ivan Ho, yang dilantik sebagai duta belia festival tahun ini, sebagai contoh usaha festival memberikan pendedahan lebih luas kepada pemuzik muda Sabah.
Katanya pemuzik muda terbabit bukan sahaja mendapat peluang untuk mengembangkan bakat malah berpeluang menimba pengalaman daripada pakar muzik di luar negara.
Selain persembahan dan pembangunan bakat muda, Sepilok Jazz turut menjadi sebahagian daripada usaha lebih luas untuk meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar menerusi muzik.
Sepilok Jazz 2026 dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Arifin pada Sabtu.






