Festival Tomorrowland Bertukar Tragedi, Pentas Utama Musnah Terbakar
Festival muzik elektronik terbesar dunia, Tomorrowland, bertukar tragedi apabila pentas utamanya musnah dalam satu insiden kebakaran besar hanya dua hari sebelum acara dijadual bermula.
Kebakaran itu berlaku di lokasi festival di bandar Boom, yang terletak di utara Brussels, Belgium.
Insiden tersebut mengakibatkan kerosakan teruk pada struktur pentas utama yang dilaporkan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.
Rakaman video dan gambar yang tular di media sosial menunjukkan api marak bersama asap hitam tebal menyelubungi struktur berkenaan, dengan beberapa letupan turut kedengaran.
Letupan itu dipercayai berpunca daripada ujian bunga api yang dijalankan sebagai persiapan sebelum festival.
https://x.com/concertleaks/status/1945545092233863469
https://x.com/VincentCrypt46/status/1945537189502169447
Menurut laporan, sekurang-kurangnya tiga perempat daripada struktur pentas utama mengalami kerosakan teruk.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan walaupun lebih 1,000 kakitangan berada di lokasi ketika kejadian berlaku.
Penganjur festival mengesahkan bahawa kawasan perkhemahan DreamVille dan program perjalanan Global Journey akan diteruskan seperti yang dirancang.
https://www.facebook.com/tomorrowland/posts/1283051866521889?rdid=qEqKkDUj3X8HjA1L#
Festival juga akan tetap diteruskan walaupun tanpa pentas utama yang menjadi simbolik kepada acara itu.
Jurucakap festival, Debby Willemsen, menyatakan bahawa pasukan penganjur kini sedang berusaha mencari penyelesaian alternatif dan menegaskan bahawa aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan utama.
Untuk info, Tomorrowland dijadual berlangsung dari 18 hingga 27 Julai ini, dan dijangka menarik lebih 400,000 pengunjung dari seluruh dunia.
Antara artis terkenal yang dijadual membuat persembahan termasuk Martin Garrix, David Guetta, Swedish House Mafia dan Steve Aoki.
Setakat ini, punca kebakaran masih belum dikenal pasti. Pihak berkuasa tempatan turut mengeluarkan arahan kepada penduduk sekitar agar menutup tingkap dan pintu bagi mengelakkan pendedahan kepada asap tebal yang merebak ke kawasan berdekatan.
Sumber: Astro Awani
The post Festival Tomorrowland Bertukar Tragedi, Pentas Utama Musnah Terbakar appeared first on Siakap Keli.


