FFM raikan 60 tahun, kekal komited pacu industri makanan negara

Business & Finance
24 Sep 2026 • 4:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: FFM raikan 60 tahun, kekal komited pacu industri makanan negara
FFM lancar logo ulang tahun ke-60 sempena MIHAS 2026. Foto: Rosli Talib
Image from: FFM raikan 60 tahun, kekal komited pacu industri makanan negara
Dari kiri, Pengurus Besar Kumpulan FFM Berhad, Dr Liew Kai Wah, Pengerusi PPB Group Berhad, Datuk (Dr) Captain Ahmad Sufian dan Pengarah merangkap Ketua Pegawai Kewangan FFM Berhad, Koh Mei Leng. Foto: Rosli Talib

FFM Berhad mahu terus melangkah ke fasa seterusnya dengan mengekalkan kualiti yang boleh dipercayai, inovasi berterusan dan komitmen jangka panjang terhadap industri makanan selepas enam dekad beroperasi.

Pengurus Besar Kumpulan FFM, Dr Liew Kai Wah, berkata perjalanan enam dekad syarikat itu berkembang seiring keluarga, pelanggan, perniagaan makanan dan komuniti di seluruh Malaysia.

“Selama enam dekad, FFM berkembang seiring keluarga, pelanggan, perniagaan makanan dan komuniti di seluruh Malaysia.

“Sambutan ini bukan sahaja peluang untuk menghargai perjalanan kami, malah mengingatkan kami untuk terus melangkah ke fasa seterusnya dengan kualiti yang boleh dipercayai, inovasi berterusan dan komitmen jangka panjang terhadap industri makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena pelancaran logo ulang tahun ke-60 FFM pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026, di sini.

Bertemakan ‘Sauh Negara, Kunci Pemakanan Rakyat Malaysia Selama Enam Dekad dan Seterusnya’, identiti ulang tahun itu mencerminkan legasi FFM sejak penubuhannya pada 1966, selain komitmen syarikat untuk terus memenuhi keperluan industri makanan dan pengguna pada masa depan.

FFM memilih MIHAS 2026 sebagai platform pelancaran logo berkenaan kerana acara itu antara pameran antarabangsa utama yang menghimpunkan pemain industri halal global.

Logo ulang tahun berkenaan menampilkan dua elemen utama, iaitu sauh dan kunci biru yang membawa makna tersendiri terhadap perjalanan serta aspirasi syarikat.

Simbol sauh melambangkan peranan FFM sebagai asas kukuh kepada rantaian bekalan makanan Malaysia sejak memulakan operasi sebagai pengilang tepung gandum pada 1966.

Elemen itu turut menjadi penghormatan kepada jenama ikonik Tepung Anchor (Cap Sauh) yang sinonim dengan warisan FFM dalam industri pengilangan tepung negara.

**media[3657529]**

Sebagai sebahagian penting rantaian sekuriti makanan negara, kilang FFM di Semenanjung, Sabah dan Sarawak membekalkan tepung serta makanan ternakan secara berterusan ke seluruh negara.

Kunci biru pula melambangkan peluang baharu apabila FFM melangkah ke dekad ketujuh operasinya, selain merujuk kepada satu lagi jenama utamanya, Tepung Blue Key.

Gabungan kedua-dua simbol itu menggambarkan keseimbangan antara warisan kukuh dengan tekad syarikat untuk terus berkembang menerusi inovasi dan penerokaan peluang baharu.

Sejak ditubuhkan, FFM berkembang daripada sebuah pengilang tepung kepada kumpulan makanan dan agriperniagaan yang merangkumi pengilangan tepung, pembuatan makanan ternakan, penternakan, pemprosesan makanan, bakeri serta pengedaran produk pengguna.

Antara jenama FFM ialah Anchor (Cap Sauh), Blue Key, Gunung Mas, roti Massimo, minyak masak dan telur ayam Seri Murni serta makanan sejuk beku dan makanan dalam tin Marina.

Semua produk FFM dipersijilkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), menjadikannya rakan bekalan bahan mentah yang dipercayai bagi pengusaha makanan halal di dalam dan luar negara.

Sejarah perjalanan FFM turut diketengahkan melalui Dinding Warisan yang memaparkan pencapaian utama syarikat sejak penubuhannya, sekali gus memberi gambaran mengenai peranan FFM dalam perkembangan industri makanan negara.

Sambutan ulang tahun ke-60 itu bukan sekadar meraikan usia penubuhan syarikat, malah menandakan enam dekad evolusi, daya tahan dan komitmen berterusan dalam menyokong industri makanan negara.

FFM turut beriltizam untuk terus berkembang seiring perubahan keperluan pengguna dan industri makanan, sambil mengekalkan asas kualiti dan kebolehpercayaan yang menjadi tunjang operasinya.

Orang ramai dijemput mengunjungi reruai FFM di 3C05-07 dan 3C28-30, MITEC, Dewan 3, Tingkat 1, dari 23 hingga 26 September bagi peluang bergambar di Dinding Warisan FFM.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved